Muhyiddin minta hentikan berpolitik, dahulukan keperluan rakyat

Muhyiddin minta hentikan berpolitik, dahulukan keperluan rakyat

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta ahli politik di negara ini supaya mendahulukan kepentingan rakyat.

Ia termasuk membantu menyelesaikan masalah pandemik COVID-19, menyempurnakan pemberian vaksin dan pengukuhan ekonomi rakyat.

Kata Muhyiddin beliau bukan tidak mahu berpolitik dan berbahas mengenainya namun keperluan asas membabitkan rakyat perlu menjadi keutamaan ketika ini.

“Bukan saya tidak boleh berpolitik, bukan saya tidak boleh berbahas, saya sudah hampir keseluruhan kehidupan saya dalam politik. Saya boleh berbahas dengan sesiapa sahaja yang ada tetapi itu saya elakkan. Rakyat marah saya. Ini jawab pun ada yang marah.

“Saya hendak elak begitu bukan saya takut kerana rakyat resah, hidup susah hendak makan, tidak ada duit, makan tidak cukup dan alas perut. Saya tidak tahu kenapa parti politik tidak prihatin,” katanya pada sidang media selepas berucap pada pelancaran Zon Ekonomi Khas Pagoh Fasa Satu, Bandar Universiti Pagoh, di sini hari ini.

Jelas Ahli Parlimen Pagoh itu, beliau faham bahasa politik yang diutarakan UMNO.

“Bukan tidak penting kerusi, penting. Kalau tidak ada kerusi tidak dapat tubuh kerajaan tetapi kalau begitu kalau dia (UMNO) ambil semua kerusi, saya pun ambil semua, satu lawan satu. Satu lawan dua, satu lawan tiga. Inilah politik, tidak hendak sombong diri, sifat angkuh nanti rakyat marah.

“Saya faham pemimpin UMNO dalam PAU (Perhimpunan Agung UMNO 2020). Bahasa politik saya faham, saya tidak hendak hadapi, ia sebagai pertembungan untuk alih persoalan pokok,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas ucapan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang mengatakan semua kerusi UMNO adalah milik parti itu.

Malah ia tidak akan sesekali dilepaskan dan UMNO tidak akan mengalah dan memperjudikan mana-mana kerusi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Berita Penuh :https://www.astroawani.com/berita-politik/hentikan-berpolitik-dahulukan-keperluan-rakyat-pm-muhyiddin-290350