Muafakat Nasional gagal, Annuar Musa cadang Muafakat Nasional 2.0 pula

Muafakat Nasional gagal, Annuar Musa cadang Muafakat Nasional 2.0 pula

Bekas setiausaha agung Barisan Nasional (BN), Annuar Musa mencadangkan Muafakat Nasional 2.0 ditubuhkan untuk disertai Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“PAS boleh mengurusetiakan Muafakat Nasional 2.0,” tulisnya di Twitter sambil menambah gerakan itu boleh dibuka kepada semua gabungan politik yang berpaksikan penyatuan pemikiran pemimpin Melayu sealiran.

“Kami bersedia mendokongnya,” kata menteri Wilayah Persekutuan itu.

Semalam, PAS dan PPBM dalam kenyataan bersama mengumumkan mereka akan mengukuhkan kerjasama bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 serta menolak sebarang cubaan membentuk kerajaan baharu melibatkan Pakatan Harapan.

Kedua-dua parti itu turut bersetuju menubuhkan mekanisme di peringkat pusat bagi memutuskan pengagihan kerusi menjelang PRU15.

Kenyataan itu menyusul mesyuarat Presiden PAS, Abdul Hadi Awang dan Presiden PPBM, Muhyiddin Yassin semalam, berikutan keputusan Umno pada perhimpunan agungnya hujung minggu lalu untuk tidak bekerjasama dengan PPBM pada PRU15.

Malah, beberapa pemimpin kanannya turut menggesa PAS memilih antara Umno atau PPBM sebagai sekutunya pada PRU15.

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata, parti itu akan bertanding di bawah panji Barisan Nasional pada PRU15 serta mahu menentukan “parti mana yang benar-benar ikhlas dan jujur untuk membentuk kerajaan bersama kita”.

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/04/01/annuar-cadang-tubuh-muafakat-nasional-2-0/