MRSM terbuka untuk semua aliran, syarat sebelum ini tak digunapakai .DASAR sedia ada bagi pengambilan pelajar ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) kekal dan cadangan perubahan yang diumum sebelum ini tidak akan digunapakai.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata semua pelajar tanpa mengira aliran berhak mendapat peluang untuk kemasukan ke MRSM atas semangat ‘Keluarga Malaysia’.
“Saya hendak tegaskan bahawa dasar dan syarat kemasukan ke MRSM kita kembalikan kepada syarat asal seperti sebelum ini bagi memberi peluang kepada semua pelajar untuk memohon.
“Kelayakan dan pemilihan pelajar pula dibuat berdasarkan Ujian Kecenderungan Kemasukan MRSM (UKKM) yang menguji kecenderungan Pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) serta keperibadian pelajar,” katanya selepas majlis penyerahan sumbangan amal pelitawanis TNB di Hospital Kuala Nerang, hari ini.
Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap berkata, dasar 10 peratus pengambilan pelajar Bukan Bumiputera juga kekal dan tiada sebarang perubahan selaras dengan konsep ‘Keluarga Malaysia’.
Jelas beliau, kualiti dan sistem pendidikan yang tersendiri serta berkualiti tinggi diterapkan MRSM, menyebabkan permintaan dalam kalangan pelajar sangat tinggi.
“Kita berterima kasih kepada masyarakat yang memberi pengiktirafan dan sentiasa memandang tinggi sistem pendidikan di MRSM,” katanya.
Bagaimanapun katanya, MRSM hanya mampu menampung 7,500 pelajar Tingkatan Satu dan 2,000 pelajar Tingkatan Empat bagi setiap sesi pengambilan tahunan.
Menurutnya, ia berbanding permohonan yang diterima tahun ini iaitu 77,834 bagi Tingkatan Satu dan 24,495 bagi Tingkatan Empat untuk sesi kemasukan 2022.
Tambah Mahdzir, dasar MARA adalah menyasarkan untuk menyediakan kuota 60 peratus kepada pelajar cemerlang dalam kalangan keluarga B40 bagi mengikuti pengajian di MRSM.
“Sistem Pendidikan MRSM bertujuan membuka peluang pendidikan menengah bagi melahirkan pelajar Bumiputera yang holistik, cemerlang dalam bidang akademik, sains, teknologi dan keusahawanan.
“Sistem Pendidikan MRSM juga sedikit berbeza dengan sistem pendidikan lain dari aspek kemampuan kognitif dan sahsiah pelajar. MRSM mengumpul pelajar cemerlang dan berpotensi tinggi selari ciri-ciri Saintifik, Independen, Kreatif, Amanah dan Patriotik (SIKAP),” katanya.
Untuk rekod, jumlah MRSM di seluruh negara adalah 55 dan mampu menampung 37,198 pelajar.
Sebelum ini, media melaporkan isu berhubung dasar pengambilan baharu MRSM yang tidak lagi akan menerima permohonan kemasukan dari kalangan pelajar sekolah vernakular dan sekolah agama.
Perkara ini mendapat bantahan pelbagai pihak yang menyatakan MRSM seharusnya membuka ruang kepada pelajar lain-lain aliran selain Sekolah Kebangsaan (SK) untuk memasuki institusi tersebut.
Berita Penuh :https://malaysiapost.com.my/2021/09/05/tiada-perubahan-dasar-kemasukan-ke-mrsm-mahdzir/