MP sudah divaksin, apa masalah untuk parlimen bersidang?

MP sudah divaksin, apa masalah untuk parlimen bersidang?

Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Datuk Mustaffar Kamal Ab Hamid berpandangan Parlimen sudah boleh bersidang kerana semua MP sudah divaksin.

Menurut beliau, tiada alasan untuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) menangguhkan pembukaan Parlimen hingga tiga bulan lagi.

Beliau berkata, sekiranya Parlimen dapat dibuka, pelbagai isu kepentingan rakyat dapat ditangani dengan lebih berkesan lebih-lebih ketika berdepan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan Sekatan Pergerakan Penuh yang berkuatkuasa awal Jun lalu.

“Kalau mereka faham titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah tidak sepatutnya timbul isu untuk tangguh sampai bulan Oktober baru nak buka sidang Parlimen.

“Seboleh-bolehnya, sidang Parlimen perlu dipercepatkan kerana ini membabitkan kepentingan rakyat. Rakyat mahu tahu apa yang kerajaan sedang buat untuk atasi wabak Covid-19.

Pelik jugalah, kerana sebelum ini sekolah dibenarkan dibuka, kilang pun dibenarkan beroperasi, tapi Parlimen pula cuba dilengah-lengahkan pembukaannya.

“Jangan cakap pasal pematuhan prosedur operasi standard (SOP), perkara ini semua sudah tahu dan rakyat juga sudah sedia maklum dengan SOP yang perlu mereka patuhi.

Kalau rakyat boleh patuh, takkanlah 220 ahli Parlimen tidak boleh. Mereka (ahli Parlimen) sudah menerima suntikan vaksin,” katanya ketika ditemui di Balok pada Isnin.

Mustaffar Kamal (kiri) menyampaikan sumbangan barangan keperluan kepada penduduk di Balok yang terjejas susulan PKP 3.0 pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan kerajaan PN yang dilihat seperti ingin menangguhkan pembukaan Parlimen hingga tiga bulan lagi.

Mustaffar Kamal berkata, menerusi sidang Parlimen perbincangan lebih efektif dapat dijalankan sekali gus dapat menyelesaikan masalah Covid-19.

“Kalau macam sekarang, rakyat tidak tahu apa langkah proaktif dan berapa banyak perbelanjaan yang kerajaan gunakan untuk menyelesaikan masalah membabitkan pandemik ini.

“Jadi, bila Parlimen bersidang, barulah ada ‘check and balance’ dan tidaklah berlaku penyalahgunaan kuasa kerana ketika ini kita tidak ada ruang untuk bertanyakan semua ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mustaffar Kamal turut menjunjung kasih atas kebijaksanaan Seri Paduka Baginda dan Majlis Raja-Raja yang mencadangkan agar Proklamasi Darurat yang dikuatkuasakan sejak 14 Januari lalu, tidak disambung selepas 1 Ogos ini.

Ujarnya, keputusan tersebut jelas menunjukkan keprihatinan Seri Paduka Baginda terhadap keresahan rakyat ketika ini.

“Apabila Seri Paduka Baginda bertitah Parlimen perlu bersidang secepat mungkin, maknanya ia perlu disegerakan.

Bukan hendak tunggu bulan September atau Oktober mahu laksanakan. Rakyat sekarang dalam keadaan tertekan, jadi perlulah satu sidang (Parlimen) untuk membincangkan perkara ini.

“Pendirian Seri Paduka Baginda dan Majlis Raja-Raja berkait pelaksanaan Proklamasi Darurat juga sangat jelas kerana perkara ini sebenarnya banyak mengakibatkan kerugian kepada negara.

“Pelabur dari luar tidak berani untuk masuk (melabur), pelabur sedia ada pula menarik diri dan pergi (melabur) ke negara lain, semua ini berpunca daripada keadaan semasa kerajaan yang tidak stabil.

“Jadi, buat apa mereka (pelabur) datang, jika keadaan politik di Malaysia tidak stabil dan selagi kita berada dalam keadaan darurat, selagi itu kita tidak mendapat keyakinan daripada pelabur,” katanya.

Ditanya mengenai kemungkinan berlaku undi tidak percaya jika Parlimen bersidang dalam masa terdekat, Mustaffar Kamal berkata, perkara itu bukanlah keutamaan buat masa ini.

Tegasnya, perkara yang paling penting ialah rakyat ingin mengetahui langkah diambil kerajaan untuk menangani wabak Covid-19 dan bagaimanapun cara kerajaan untuk memulihkan ekonomi.

“Saya tidak fikir isu undi tidak percaya menjadi agenda utama sidang Parlimen kerana masalah covid-19 lebih besar dan perlu penyelesaian segera.

“Kalau ada yang terfikir untuk mengemukakan usul undi tidak percaya, saya rasa itu tindakan mementingkan diri sendiri sedangkan Seri Paduka Baginda meminta Parlimen bersidang untuk membincangkan hal berkaitan Covid-19 termasuk mempercepatkan pengagihan vaksin serta pemulihan ekonomi negara,” ujarnya.

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/145401/BERITA/Politik/Parlimen-wajar-dibuka-kerana-Ahli-Dewan-Rakyat-sudah-divaksin