MP Bersatu bakal dilantik TPM jika Ismail PM, kata sumber

Bersatu

MP Bersatu bakal dilantik TPM jika Ismail PM. Jawatan timbalan perdana menteri akan diisi oleh Bersatu jika Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai perdana menteri baharu, kata sumber.

Bercakap kepada FMT, sumber itu berkata perkara tersebut sudah dipersetujui, Bersatu akan mendapat jawatan timbalan perdana menteri selepas dilaporkan menyokong Ismail.

Difahamkan, calon bagi menjawat jawatan nombor dua itu ialah Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Azmin Ali, kedua-duanya dilihat sebagai sekutu rapat bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin.

Ismail, bekas timbalan perdana menteri kelihatan hampir untuk mengisi jawatan tertinggi itu selepas beliau dilaporkan mendapat sokongan 114 Ahli Parlimen.

Penganalisis sosio politik Universiti Malaya, Awang Azman Awang Pawi, berkata jika Ismail dilantik sebagai perdana menteri, keutamaannya sudah tentu mengecilkan saiz Kabinet.

“Perkara paling sukar, secara politiknya, membabitkan pelantikan timbalan perdana menteri,” katanya.

Bersatu

Jika timbalan perdana menteri daripada Bersatu, beliau berkata, Ismail pasti terpaksa berdepan isu rungutan daripada akar umbi Umno, dipercayai bagi tempoh pendek.

“Sekiranya, TPM daripada Bersatu, kemungkinan adalah Hamzah. Selepas Muhyiddin, beliau dilihat sebagai ketua dominan dalam parti, selain menjadi ‘orang kanan sebenar’ Muhyiddin, walaupun hierarkinya dalam parti adalah rendah.

“Sebagai bekas pemimpin Umno, beliau tentunya arif ‘menelusuri air’,” katanya.

Awang Azman berkata, akar umbi Umno berkemungkinan tidak menyukai idea melantik timbalan perdana menteri terdiri daripada Ahli Parlimen yang lompat parti, bagaimanapun perkara paling penting kepada ahli dan penyokong Umno adalah pemimpin parti mereka mengetuai kerajaan.

Walaupun jawatan timbalan perdana menteri memberi “nafas” kepada Bersatu, Awang Azman berkata, tiada jaminan ia mengubah apa-apa membabitkan hubungan antara dua parti itu.

“Jadi, kedua-dua parti berkenaan akan bertembung sesama sendiri pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan titah Diraja yang mahu semua parti politik bekerjasama, namun beliau meramalkan pembangkang tidak akan dipelawa bersama dalam kerajaan.

“Dalam senario ini, adalah mustahil kita akan melihat timbalan perdana menteri mahupun menteri daripada pembangkang,” katanya.

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/08/19/tpm-daripada-bersatu-jika-ismail-pm-kata-sumber/

BACA: Naik lagi !!! Kes baru Covid-19 cecah 22,948 kes hari ini