MoU Kerajaan-Pembangkang : Kenyataan bersama bakal dikeluarkan hari ini?

Kenyataan bersama memorandum persefahaman (MoU) yang melibatkan intipati perbincangan antara pihak kerajaan dan juga pembangkang mungkin akan dikeluarkan hari ini.

Menurut Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Tan Sri Annuar Musa, yang juga merupakan ahli jawatankuasa yang dilantik mewakili pihak kerajaan berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob secara dasarnya bersetuju dengan syor yang telah dinyatakan menerusi kenyataan media yang dikeluarkan oleh kedua-dua pihak setakat ini.

“Ini adalah sebahagian agenda transformasi tersebut yang membabitkan pentadbiran, politik, Parlimen dan tatatkelola kerajaan agar kerajaan lebih inklusif dan mampu menangani masalah negara dalam menghadapi pandemik, ekonomi dan lain-lain dengan lebih baik.

MoU Kerajaan-Pembangkang : Kenyataan bersama bakal dikeluarkan hari ini?

Annuar Musa melihat MoU kerajaan-pembangkang akan mewujudkan semak dan imbang yang lebih baik.

“Dengan kenyataan yang telah dikeluarkan oleh kedua-dua pihak, kita harap akan ada kenyataan bersama pada hari ini,” katanya ketika hadir Program Penyerahan Bantuan Makanan Kepada Golongan Memerlukan Rumah Prihatin di ibu negara pagi tadi.

Namun jelasnya, persefahaman itu masih tertaluk kepada syor-syor yang dikemukakan oleh kedua-dua pihak untuk dimuktamadkan sedikit masa lagi.

“Ia telah dibincangkan secara terperinci, Perdana Menteri dan kabinet setuju untuk jawatankuasa ini sediakan draf untuk dimuktamadkan.

“Setakat ini kita alu-alukan kenyataan pihak Pakatan Harapan dan mereka cenderung untuk bersetuju dengan syor tertaluk beberapa perkara untuk diputuskan,” jelasnya.

Tan Sri Annuar Musa juga menjelaskan apa yang sedang diusahakan ini adalah inisiatif pihak kerajaan yang mempunyai kesungguhan dalam merencanakan transformasi politik yang lebih tersusun.

Perbincangan terhadap memorandum persetujuan ini membabitkan lima wakil daripada pihak kerajaan dan enam daripada blok gabungan parti-parti pembangkang.

Tambahnya persetujuan antara kedua-dua belah pihak juga berkemungkinan membabitkan perkara-perkara pindaan perlembagaan dan akta sedia ada.

Berita Penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/kenyataan-bersama-mou-kerajaanpembangkang-dikeluarkan-hari-ini-319327

BACA JUGA : Pekerja Hotel Primula Beach lega akhirnya hotel ditutup