Moratorium menyeluruh akan menyusahkan negara dan rakyat – Gabenor

Moratorium menyeluruh akan menyusahkan negara dan rakyat – Gabenor

Bank Negara Malaysia (BNM) terus menegaskan moratorium menyeluruh bukan penyelesaian terbaik ketika negara berdepan Perintah kawalan Pergerakan (PKP) 2.0.

Menurut Gebenornya, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, ini kerana pelaksanaan moratorium menyeluruh akan menjejaskan berjuta rakyat dalam jangka masa panjang termasuk usaha pemulihan ekonomi.

Bahkan, tegas beliau, tanggapan bahawa ekonomi hanya boleh dibantu dengan moratorium menyeluruh adalah salah.

“Pertama ia akan menjejaskan penampan bank dan menyukarkan perniagaan serta individu untuk mendapatkan pinjaman baharu kerana bank berdepan risiko.

“Kedua, keuntungan serta pengukuhan bank amat penting buat berjuta-juta rakyat Malaysia yang mempunyai pegangan bukan sahaja deposit sebaliknya pemegang kepentingan secara tidak langsung dalam bentuk simpanan di KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja), ASB (Amanah Saham Bumiputera), KWAP (Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan), LTAT (Lembaga Tabung Angkatan Tentera), dan Tabung Haji.

“Ketiga, moratorium bersasar adalah lebih baik berbanding moratorium menyeluruh kerana ia memberi pilihan kepada peminjam untuk membuat keputusan kewangan sendiri,” katanya dalam sidang media secara maya Pembentangan Ekonomi 2020.

Shamsiah berkata, setakat ini sejumlah 1.4 juta peminjam sudah memohon bantuan bayaran balik dengan 95 peratus diluluskan.

Malah, jelas beliau, 45 peratus daripada mereka memilih untuk menstruktur kembali bayaran bulanan berbanding mahukan moratorium.

“Mereka ini ramai daripada segmen peminjam dan isi rumah berpendapatan rendah dan B40.

“Ini menunjukkan peminjam membuat keputusan tepat dalam menguruskan hutang mereka mengikut tahap kemampuan mereka.

“Hanya 0.2 peratus peminjam membuat aduan kepada BNM bahawa mereka berdepan kesukaran mendapatkan bantuan,” kata beliau lagi.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-bisnes/moratorium-menyeluruh-tidak-baik-untuk-ekonomi-rakyat-gabenor-282453