Moratorium diumum Muhyiddin, indah khabar dari rupa

Moratorium diumum Muhyiddin, indah khabar dari rupa

Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan permohonan moratorium pembayaran balik pinjaman hanya indah khabar daripada rupa dengan peminjam yang diberikan moratorium tetapi masih perlu membayar faedah.

Dalam catatan di Facebook, beliau menceritakan proses permohonan yang dihadapi pemohon M40 dan peniaga kecil.

Beliau berkata, seorang pemohon moratorium di sebuah bank menyifatkan temuduga untuk mendapatkan moratorium “ibarat mahu memohon jawatan pengarah”.

Katanya, individu itu ditanya mengenai gaji dan perbelanjaan bulanan tetapi akhirnya bank memaklumkan baki gajinya cukup untuk membayar ansuran kereta.

“Memanglah cukup (bayar ansuran kereta) tetapi mana cukup tampung seisi keluarga pada waktu pendapatan isi rumah sedang terjejas,” katanya.

Ahad lalu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz dilaporkan berkata, perniagaan yang tidak termasuk dalam senarai dibenarkan beroperasi oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepanjang perintah kawalan pergerakan 3.0 dan pekerja mereka boleh memohon moratorium.

Katanya, permohonan mereka akan diberikan kelulusan automatik termasuk golongan M40 dan T20 yang terjejas pendapatan.

Beliau berkata, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan gabenor Bank Negara Malaysia sebelum ini turut menyatakan moratorium automatik akan diberikan kepada B40 jika mereka memohon, tidak kira terjejas pendapatan atau tidak.

Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, peniaga kecil pula dikenakan beberapa syarat, antaranya perlu menunjukkan bukti hilang pendapatan semasa memohon moratorium.

“Masalahnya, peniaga kecil tiada bukti selain penyata bank dan rekod dalaman perniagaan.

“Ramai peniaga kecil tidak ada slip gaji, penyata KWSP atau surat dibuang kerja.”

Katanya, ada pula peminjam yang mendapat moratorium tetapi masih perlu membayar faedah setiap bulan.

“Nak bantu rakyat, bantulah sepenuh hati dan seikhlas mungkin. Janganlah terlalu berkira,” katanya merujuk kepada kerajaan.

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/22/indah-khabar-daripada-rupa-kata-zahid-berkait-syarat-tak-realistik-moratorium/