Moratorium 6 bulan boleh dimohon mulai esok – Bank Negara

Moratorium 6 bulan boleh dimohon mulai esok – Bank Negara

Bank Negara Malaysia (BNM) mengarahkan bank untuk tidak mengenakan caj faedah ke atas faedah atau keuntungan atas keuntungan membabitkan program bantuan moratorium selama enam bulan yang boleh dipohon oleh peminjam bermula esok.

Bank juga tidak dibenarkan mengambil apa-apa faedah/keuntungan penalti sepanjang tempoh bantuan berlangsung.

Dalam kenyataan dikeluarkan bank pusat itu hari ini, tawaran moratorium enam bulan itu dibuka kepada individu dan perusahaan mikro serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) susulan pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).

Bagaimanapun kenyataan itu menjelaskan, peminjam perlu memahami pengambilan bantuan bayaran balik pinjaman menyebabkan kos pinjaman meningkat secara keseluruhan, didorong faedah/ keuntungan akan terus terakru (diambil kira) ke atas bayaran balik pinjaman yang tertangguh.

moratorium

“Bantuan bayaran balik pinjaman ini ditawarkan untuk pembiayaan yang diluluskan sebelum 1 Julai 2021.

“Selain itu, peminjam sama ada individu, perusahaan mikro ataupun PKS tidak perlu bimbang kerana permohonan mendapatkan moratorium atau lain-lain pakej bayaran balik pembiayaan adalah mudah dan dokumen sokongan tidak diperlukan,” kata bank pusat itu.

BNM berkata, pada masa permohonan dibuat peminjam tidak mempunyai ansuran tertunggak melebihi 90 hari atau berhadapan dengan prosiding bankrap/penggulungan.

Bank dikehendaki memberikan penerangan kepada peminjam mengenai kesan pengambilan bantuan bayaran balik pinjaman ke atas jumlah bayaran ansuran dan tempoh pembiayaan.

“Apabila peminjam memohon untuk mendapatkan bayaran ansuran yang lebih rendah (bukan mengekalkan bayaran ansuran yang asal) selepas moratorium, hal ini boleh menyebabkan tempoh pinjaman mereka menjadi lebih panjang,” katanya.

Katanya, Rekod Sistem Maklumat Rujukan Kredit Berpusat (CCRIS) peminjam tidak akan terjejas akibat penerimaan apa-apa bentuk bantuan bayaran balik pinjaman pada 2021.

“Kelulusan moratorium diberikan secara automatik. Selain moratorium, bank juga akan menawarkan pengurangan bayaran ansuran dan pakej lain, termasuk penjadualan semula dan penstrukturan semula pembiayaan yang sesuai dengan kedudukan kewangan khusus peminjam.

“Peminjam boleh membuat permohonan secara dalam talian melalui borang web atau e-mel automatik yang akan tersedia menerusi laman sesawang bank untuk peminjam mengemukakan butiran peribadi dan pembiayaan mereka,” kata kenyataan itu lagi.

Jelas BNM lagi, jika peminjam tidak dapat menggunakan saluran digital ditetapkan, mereka juga boleh mengunjungi cawangan bank untuk menghantar permohonan moratorium.

Peminjam yang sudahpun berada dalam program bantuan bayaran balik pinjaman dan membayar balik pembiayaan mereka mengikut terma program tersebut juga boleh memohon moratorium ini.

Peminjam individu dan PKS yang mempunyai tunggakan bayaran balik pinjaman melebihi 90 hari dinasihati supaya menghubungi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) bagi mendapatkan bantuan bayaran balik pinjaman yang sesuai dan khidmat nasihat kewangan secara percuma (services.akpk.org.my).

Berita Penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/07/06/moratorium-enam-bulan-boleh-dipohon-bermula-esok-kata-bnm/

BACA JUGA : Panas !!! Keluar kerajaan : Ini senarai MP Umno akur dan ingkar – Zaharin