Golongan peneroka berharap kerajaan boleh mempertimbangkan agaraya industri penternakan dijadikan alternatif, jika mereka perlu tidak boleh hanya bergantung kepada tanaman getah dan kelapa sawit.
Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Felda Jerangau Barat, Terengganu Ngah Zakaria, 57, berkata industri ternakan sama ada lembu, kambing atau ayam daging mempunyai pasaran dan nilai yang tinggi.
“Bidang penternakan juga tidak memerlukan tanah yang luas… cukup jika diambil sedikit kawasan dalam ladang untuk dibuat reban atau kandang selain lembu boleh dibiarkan meragut dalam kawasan ladang.
“Jika perlu memilih, saya lebih cenderung kepada penternakan kerana pertanian sayur atau buah memerlukan kemahiran dan peralatan tertentu selain penjagaan lebih rapi,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.
Ngah ditemui pada Sambutan Hari Peneroka Felda Peringkat Kebangsaan 2019 di Felda Selancar 3 di sini hari ini, yang dirasmikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang turut melancarkan Program Pembangunan Peneroka (PPP) yang juga model perniagaan baharu Felda.
Menerusi PPP, kerajaan berhasrat mengabungkan tanah Felda untuk menjadi ladang yang lebih besar bagi mendatangkan pendapatan lebih baik kepada peneroka, selain membolehkan tanah itu diusahakan dengan tanaman lain bagi mengurangkan kebergantungan kepada getah dan kelapa sawit.
Peneroka Felda Triang 1, Pahang Salmah Mohd Nordin, 56, pula berkata kebimbangan dia terhadap rancangan baharu itu ialah modal permulaan kerana untuk mula bercucuk tanam memerlukan peruntukan besar jika mahu dilaksanakan dalam skala besar.
“Sekarang peneroka sudah tidak semewah dahulu kerana harga komoditi sudah jatuh jadi saya rasa mungkin ramai agak berat jika perlu mengeluarkan modal sendiri untuk mula bercucuk tanam yang baharu.
“Mungkin perkara ini perlu diperhalusi kerajaan dan pengurusan Felda. Kami sudah sinonim dengan getah atau kelapa sawit, jadi untuk berubah ini sudah pasti memerlukan masa dan ilmu baharu,” katanya.
Peneroka Felda Kertih 3, Terengganu Ahmad Sulaiman, 63, pula berharap pengurusan Felda akan memberi penjelasan yang lebih jelas mengenai pelaksanaan PPP supaya mereka benar-benar memahami intipatinya supaya isu itu tidak dimainkan mereka yang tidak bertanggungjawab.
Bagi generasi kedua peneroka Wilayah Mempaga, Pahang, Muhammad Ridzuan Mohd Taib, 27, berkata antara perkara yang perlu dijamin kerajaan sebelum melaksanakan program itu ialah pasaran produk baharu yang diterokai.
“Buah sawit sudah ada pembelinya, walaupun harganya turun naik. Ini sudah tentu sedikit sebanyak membolehkan peneroka mendapat pendapatan bulanan walaupun ada masa kami rugi.
“Jika nak tanam yang lain, kami perlu teroka pasaran baharu dan kebanyakan produk tanaman sudah ada penjualnya. Jadi untuk kami nak tembus pasaran ini mungkin agak payah,” katanya.