Mohd Redzuan sudah lihat, duduk dalam ‘Super Drone’

Kementerian Pembangunan Usahawan menjelaskan kereta terbang atau Super Drone sudahpun ditinjau oleh Menterinya Datuk Seri Mohd Redzuan Mohd Yusuf di Subang hari ini.

Tinjaun dilakukan secara tertutup walaupun sudah tersebar beberapa hari sebelum ini, di media sosial yang mengatakan Mohd Redzuan akan melihat hasil teknologi yang dikatakan antara kerjasama  Malaysia dan China itu di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz, Subang jam 2 petang hari ini.

Menurut kenyataan media dari kementerian lawatan tertutup menteri adalah amalan biasa yang dijalankan oleh pihak kementeri dan agensi terlibat bagi melihat dengan lebih dekat kemampuan usahawan dalam membina kereta terbang.

Mohd Redzuan telah meninjau Super Drone atau “manned aerial vehicle” di Subang pada hari ini susulan jemputan yang diterima daripada usahawan tempatan, Eastcap Berhad yang bekerjasama dengan syarikat luar negara yang membawa dron
tersebut.

Kenyataan menyebut sebagaimana yang banyak dilaporkan oleh media sebelum ini, Kementerian juga telahpun memberikan sokongan dan fasilitasi berkaitan kepada beberapa projek dron dan air mobility yang dijalankan oleh syarikat tempatan dan luar negara.

Projek seumpama ini dapat menggalakkan lagi aktiviti R&D dalam industri aeroangkasa dan air mobility menerusi usahasama antara syarikat tempatan dan syarikat menggunakan teknologi terkini merangkumi big data, artificial intelligence (AI) dan Internet of Things (IoT). Ianya merupakan inisiatif swasta (private driven initiative) yang tidak melibatkan sebarang implikasi kewangan kepada pihak Kerajaan.

“Sebagai Kementerian yang menerajui pembangunan keusahawanan, Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) akan terus menyokong dan memudahcara pembangunan usahawan PKS yang berinovasi tinggi, selaras dengan Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030) – di bawah Teras Strategik 5 untuk memperluas sektor berpotensi utama dalam industri pertumbuhan tinggi seperti aeroangkasa, automatif, rel, tenaga boleh diperbaharui, peranti perubatan, bioteknologi dan industri halal.”

Tambah Mohd Redzuan lagi, “MED akan sentiasa menjalinkan kerjasama secara berterusan dengan pemain industri tempatan dan antarabangsa bagi mencapai objektifvyang disasarkan di bawah DKN 2030. Walaupun begitu, usahawan-usahawan yang ingin menceburi industri tersebut haruslah akur dan memahami peraturan dan undangundang sedia ada dan sentiasa memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa di negara ini terhadap proses penguatkuasaan dan pemantauan sebarang aktivitiberkaitan,” ujarnya.

Dalam lawantan tertutup itu Menteri juga telah menerima penerangan tentang perancangan syarikat tersebut untuk melabur di Malaysia bagi membangunkan fasiliti pemasangan “manned aerial vehicle” sebanyak 10,000 unit setahun dengan pewujudan 2,000 peluang pekerjaan untuk pasaran eksport dengan Negara yang dikenal pasti oleh usahawan ini.

MED juga menggalakkan lebih banyak syarikat inovasi tempatan untuk memilih Cyberjaya sebagai platform test-bed untuk menguji teknologi dan inovasi baharu termasuk autonomous, dron dan air mobility.

Dalam hubungan yang sama, pihak Kementerian juga sedang berbincang dengan pihak Kementerian Pengangkutan dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) mengenai keperluan mewujudkan kerangka perundangan kondusif dan holistik bagi dan memperkasakan ekosistem sedia ada.