Mohamaddin sahkan KSU dipanggil SPRM

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi mengesahkan bahawa ketua setiausaha (KSU) kementeriannya dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam dan hari ini.

Bagaimanapun, katanya, beliau belum dimaklumkan sama ada pegawai bergelar Datuk itu dipanggil berhubung kes salah guna kuasa membabitkan kontrak kerajaan bernilai lebih RM99 juta yang dilaporkan pada Januari lepas atau kes berlainan.

“Saya tidak dapat memberi komen lebih panjang berhubung perkara ini kerana tidak mahu mengganggu siasatan (SPRM).

“Tetapi ingin saya tegaskan bahawa Kerajaan Pakatan Harapan adalah kerajaan baharu dan bersih dan tidak akan bertolak ansur dengan pegawai-pegawai yang melakukan rasuah dan salah guna kuasa,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Ditanya mengenai tindakan kementerian terhadap KSU terbabit, Mohamaddin berkata buat masa ini pegawai tersebut masih menjalankan tugas seperti biasa sementara pihaknya menunggu hasil siasatan SPRM.

“Kalau perkara (kes) ini terlalu serius dan (KSU) perlu direhatkan, saya akan minta panduan daripada Ketua Setiausaha Negara (Datuk Seri Dr Ismail Bakar),” katanya.

Sebelum ini, pada 12 Jan lepas, KSU tersebut hadir di ibu pejabat SPRM, di sini, untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan salah guna kuasa membabitkan kontrak kerajaan bernilai lebih RM99 juta.

Terdahulu, seorang bekas pengerusi agensi kerajaan bergelar Datuk dan seorang wanita yang merupakan ketua pegawai eksekutif sebuah syarikat swasta, turut direman bagi membantu siasatan kes tersebut.

Menurut laporan media, bekas pengerusi agensi kerajaan itu disyaki menggunakan jawatan dan kedudukannya dalam mencadangkan sebuah syarikat secara lantikan terus dalam projek Kempen Pengiklanan Digital bagi pasaran China untuk tempoh 2018 hingga 2020 yang dianggarkan berjumlah lebih RM99 juta dengan menggunakan peruntukan agensi kerajaan berkenaan.

BERNAMA