Mohamad Sabu terima baik peruntukan untuk pertahanan negara, perlu lebih perincian

Mohamad Sabu terima baik peruntukan untuk pertahanan negara, perlu lebih perincian

Komentar Awal daripada Mantan Menteri Pertahanan, Haji Mohamad bin Sabu, dan Mantan Timbalan Menteri Pertahanan, Liew Chin Tong berkenaan peruntukkan pertahanan dalam Belanjawan 2021

Setelah meneliti ucapan belanjawan 2021 oleh Menteri Kewangan dan Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2021, kami menerima baik beberapa teras usaha kerajaan untuk meningkatkan keupayaan pertahanan negara, khasnya ketika wabak COVID-19. Akan tetapi, ada beberapa persoalan yang masih timbul dan perlu dijelaskan oleh pihak Kerajaan.

Yang pertama, perbelanjaan pembangunan tahun ini telah ditingkatkan daripada RM3.083 bilion ke RM4.505 bilion. Hampir setengah daripada peruntukan RM4.5 bilion ini (sekitar RM2.3 bilion) telah ditujukan khas untuk pemulihan aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sebaik-baiknya pihak Kerajaan perlu memberi butiran lebih terperinci untuk menyatakan, mengikut cabang perkhidmatan, apakah aset-aset tersebut yang akan dibaikpulih? Sebaik-baiknya butiran ini diberi ketika waktu perbahasan nanti. Kami juga ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengingatkan sekali lagi pihak Kerajaan untuk turut memikirkan isu jangka panjang berkaitan aset-aset ATM.

Yang kedua, walaupun kami tidak menentang peruntukkan RM30 juta kepada syarikat Cyber Security Malaysia untuk mengukuhkan keselamatan siber negara, kami turut ingin tahu sama ada kerajaan turut komited untuk membangkitkan keupayaan pertahanan siber Angkatan Tentera Malaysia.

Pada bulan September tahun ini, ketika ucapan Hari Ulang Tahun ke-87 ATM, Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Haji Affendi bin Buang TUDM telah mengumumkan penubuhan Pemerintahan Siber ATM khas untuk menangani aktiviti siber elektromagnetik. Kami berharap pihak kerajaan turut bersedia untuk memastikan penubuhan Pemerintahan Siber ATM diberikan perhatian yang secukupnya.

Yang ketiga, walaupun kami menerima baik rancangan kerajaan untuk membina 1000 unit rumah keluarga angkatan tentera (RKAT) yang baru, kami ingin tahu juga apakah usaha kerajaan untuk membaik pulih beribu unit RKAT yang tidak selamat diduduki?

Pada tahun 2019, kerajaan Pakatan Harapan telah memperuntukkan RM50 juta untuk membaiki hampir 2000 unit RKAT. Pada tahun 2020, peruntukkan RM150 juta telah disediakan dan sebanyak 6000 unit RKAT disasarkan untuk kerja-kerja pembaikan. Kami berharap sementara kerajaan ingin bina unit RKAT baru, unit RKAT lama yang tidak selamat diduduki turut diberikan perhatian dan peruntukan juga. Hakikatnya, unit-unit baru ini juga akan memerlukan peruntukkan penyelenggaraan dalam masa akan datang.

Mohamad Sabu (Ahli Parlimen Kota Raja)
Liew Chin Tong (Ahli Dewan Negara)

Sumber :

COMMENTS