YB Mohamad Sabu, Menteri Pertahanan ternyata amat fokus dalam membantu tentera terutama dalam bab kebajikan. Berikut adalah senarai bantuan kebajikan yang sedang berjalan (meneruskan yang sedia ada) dan yang dirancang.
Senarai Bantuan Untuk Veteran Tentera di bawah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV)
a. Skim bantuan persekolahan dikhususkan untuk anak-anak veteran yang berpendapatan di bawah jadual pendapatan garis kemiskinan (PGK) yang selama ini diberikan kepada anak-anak veteran di peringkat pengajian rendah dan menengah telah diperluaskan kepada anak-anak veteran yang berjaya melanjutkan pelajaran ke kolej vokasional kebangsaan. Kadar bantuan bagi skim ini adalah rm700.00 setahun.
b. Bantuan bencana alam. Skim ini bertujuan memberi bantuan kewangan bagi meringankan kesusahan, kerosakan kepada rumah kediaman yang ditimpa bencana seperti banjir, ribut, kebakaran dan sebagainya. Skim ini membolehkan bantuan disalurkan kepada veteran atm selaras dengan implikasi kesusahan yang ditanggung. Kadar bantuan maksimum adalah rm 5,000.
c. Bantuan sara hidup. Skim ini diwujudkan bertujuan memberi bantuan kewangan bulanan bagi meringankan beban tanggungan sara hidup veteran atm dan tanggungan mereka yang daif, uzur, hilang upaya ataupun tidak mempunyai mata pencarian berdasarkan kelayakan mengikut kiraan paras garis kemiskinan (PGK) yang ditetapkan. Syarat kelayakan awal penerima bantuan adalah 65 tahun namun ianya telah diturunkan kepada 60 tahun selaras dengan dasar warga tua kebangsaan. Manakala bagi kes-kes tertentu, pertimbangan khas akan diberikan dan bantuan akan disalurkan tidak tertakluk kepada had umur yang ditetapkan. Skim ini juga meliputi balu dan anak yatim piatu kepada veteran atm yang telah meninggal dunia. Kadar bantuan maksimum sekeluarga ialah rm 300 sebulan.
d. Bantuan kemasukan ke universiti awam. Bagi melengkapkan inisiatif berhubung dengan kebajikan veteran atm, kerajaan juga mewujudkan bantuan kemasukan ke universiti awam yang bertujuan untuk membantu meringankan beban kewangan veteran ketika pendaftaran kemasukan anak-anak veteran atm ke peringkat pelajaran tinggi. Skim ini yang dahulunya diberi kepada veteran atm yang berpendapatan isi rumah di bawah rm 4,000 telah diperluaskan tanpa mengambilkira pendapatan. Tempoh permohonan juga telah dipanjangkan dari 6 bulan kepada satu tahun dari tarikh kemasukan ke universiti awam. Pemohon hanya layak menerima sekali bantuan sahaja sama ada di peringkat diploma dengan kadar rm 1,000 atau ijazah rm 1,500.
e. Kemudahan perubatan dan peralatan pesakit kepada veteran atm. Bayaran ini melibatkan tuntutan pembelian peralatan rawatan seperti alat ortopedik, implan, rawatan hemodialisis, alat jantung, alat pendengaran, alat bantuan pernafasan dan pembelian ubat ubatan yang sudah pastinya mahal dan tidak tertanggung oleh veteran yang tidak berkemampuan. Sesungguhnya kerajaan amat prihatin dan mengambil berat dengan tahap kesihatan veteran atm yang selama ini telah berkerja keras dan berjuang demi kesejahteraan negara ini.
f. Bantuan pengurusan jenazah. Bantuan kewangan ini diberi kepada waris untuk menguruskan jenazah apabila veteran ATM, pasangan atau anak meninggal dunia. Kadar bantuan adalah RM 3,000 bagi kematian veteran ATM dan RM1,500 bagi kematian pasangan atau anak veteran. Peruntukan ini diberikan kepada anggota-anggota veteran, isteri dan anak – anak yang berumur dibawah umur 21 tahun. Pengurusan jenazah juga akan dibantu sepenuhnya oleh unit-unit atau kem-kem yang terdekat.
g. Peluang pekerjaan kepada Veteran ATM. JHEV telah bekerjasama dengan pihak PDRM dan DBKL dalam urusan pengambilan veteran ATM tidak berpencen ke perkhidmatan tersebut. Pengambilan ini adalah berdasarkan kekosongan dan keperluan semasa di Jabatan berkenaan.
BAJET 2019
a. Sebanyak RM98 juta daripada keseluruhan cadangan peruntukan kepada Kementerian Pertahanan akan disalurkan untuk kebajikan veteran Angkatan Tentera Malaysia. – Penambahan RM20 juta dari tahun sebelumnya.
b. Bantuan kewangan kepada persatuan bekas tentera sebanyak RM500,000 yang akan diagihkan kepada 140 persatuan bekas tentera.
c. Menandatangani MoU dengan persatuan Pekilang-Pekilang Malaysia yang melibatkan 28 syarikat dan 13 persatuan Industri dengan 2,000 peluang pekerjaan ditawarkan kepada veteran tentera.
SEDANG DALAM KAJIAN
a. Kajian jurang pencen terhadap pesara ATM sebelum dan selepas 2004.
b. Kajian semula untuk menaikkan bayaran elaun pelayaran anggota TLDM apabila singgah di pelabuhan luar negara.