Modul ‘Advanced Passenger Screening’ yang berupaya membuat tapisan awal terhadap pelawat asing dijangka diguna pakai sepenuhnya menjelang pertengahan 2023.
Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman berkata modul tersebut merupakan antara elemen akan dibangunkan di bawah sistem kawalan imigresen baharu yang sedang dalam proses perolehan secara tender terbuka bagi menggantikan sistem imigresen sedia ada.
“Melalui modul ini, tapisan awal terhadap pelawat asing dapat dilakukan secara semakan silang dengan rekod daripada Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan International Criminal Police Organisation (INTERPOL) sebelum pelawat asing tiba ke negara ini.
“Sistem baharu ini dijangka dapat mengawal kemasukan pelawat asing ke Malaysia dengan lebih efisien dan kekal relevan dengan cabaran semasa,” katanya pada sesi Pertanyaan-pertanyaan bagi Jawab Lisan di Dewan Negara, di sini, hari ini.
Beliau menjawab soalan Senator Mohd Suhaimi Abdullah yang ingin tahu sama ada pihak kementerian akan menggunakan modul tersebut bagi mengenal pasti rekod jenayah lampau khususnya bagi pendatang asing warga Afrika yang masuk ke negara ini.
Mohd Azis berkata kerajaan melalui Jabatan Imigresen pada masa ini mengambil langkah mengekang kemasukan warga asing yang berisiko dengan melaksanakan proses tapisan awal melalui pengeluaran visa di kedutaan dan pejabat perwakilan Malaysia di luar negara.
“Tapisan akan dibuat untuk mengenal pasti sama ada warga asing berkenaan telah dimasukkan dalam senarai syak (SL) Jabatan Imigresen. Sekiranya nama mereka tersenarai dalam senarai syak, warganegara asing ini tidak akan dikeluarkan visa untuk datang ke Malaysia,” katanya.
Selain itu, kerajaan melaksanakan kawalan dan pemeriksaan di pintu masuk negara, meliputi pemeriksaan dokumen perjalanan, latar belakang pelawat dan penyemakan identiti dengan pangkalan data SL.
Mohd Azis berkata langkah lain yang dilaksana kerajaan pada masa ini adalah dengan mengguna pakai Sistem Pangkalan Data (Biometrik) Warga Asing dan Sistem Sekuriti Nasional (NERS) yang berupaya meningkatkan keberkesanan kawalan dan pemeriksaan warga asing dengan membuat proses pengecaman terhadap data biometrik yang telah direkodkan sebagai SL.
“Selain itu, pihak PDRM, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan agensi lain turut menyumbang data warga asing yang berisiko dalam sistem SL,” katanya.
BERNAMA