MIC persoal MB Kedah tindakan roboh kuil di Kedah, kilang haram dibiarkan

MIC persoal MB Kedah tindakan roboh kuil di Kedah, kilang haram dibiarkan

Presiden MIC S Vigneswaran mencabar Menteri Besar Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor untuk menyatakan tidak ada kilang haram di negeri itu susulan tindakan beliau mempertahankan perobohan sebuah kuil yang dibina tanpa kelulusan.

Perobohan kuil itu awal minggu ini mencetuskan kemarahan MIC, lebih-lebih lagi selepas Sanusi berkata parti itu harus diharamkan jika menghasut rakyat dan memberi amaran kepada pemimpinnya untuk ‘jangan celupar’.

Semalam, Sanusi berkata Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) bertindak mengikut bidang kuasanya dalam merobohkan Kuil Sri Raja Muniswarar di Taman Bersatu, Kuala Kedah, kerana dibina tanpa kelulusan beberapa tahun lalu.

Vigneswaran berkata jika Sanusi menggunakan hujah perundangan sebagai alasan mempertahankan perobohan kuil itu, maka beliau harus menjelaskan fenomena kilang haram di Kedah.

Beliau mencabar Sanusi untuk mengisytiharkan Kedah tidak mempunyai kilang haram seperti mana beliau menegaskan rumah ibadat yang dibina tanpa kelulusan mesti diroboh.

“Oleh kerana beliau (Sanusi) mahu bicara tentang menegakkan undang-undang, saya mahu beliau menyatakan tidak ada kilang haram di Kedah. Apa tindakan yang diambilnya? kata Vigneswaran kepada FMT.

“Saya harus mengingatkan Sanusi bahawa beliau adalah MB untuk seluruh rakyat Kedah. Tetapi peri lakunya menunjukkan beliau akan membawa keaiban kepada PAS di masa depan,” kata Vigneswaran.

Isu kilang haram semenangnya hangat di Sungai Petani. Penduduk daerah itu sudah lama merungut kualiti udara semakin merosot akibat tindakan kilang haram menjalankan pembakaran terbuka.

Dalam pada itu, Vigneswaran turut menuntut Sanusi menjelaskan dakwaan beliau bahawa kerajaan persekutuan tidak memberikan peruntukan untuk kebajikan masyarakat India di Kedah.

Vigneswaran berkata kenyataan itu tidak benar sama sekali tetapi “Sanusi tidak memohon maaf kepada Dewan Undangan Negeri atas kenyataan bohong itu,” kata beliau.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/12/04/kenapa-roboh-kuil-tapi-tidak-kilang-haram-mic-tanya-mb-kedah/

COMMENTS