Mesyuarat MKT Umno : Bersatu desak dedah keputusan rasmi

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meminta agar UMNO mendedahkan keputusan rasmi mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu yang diadakan pada Jumaat.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman berkata, perkara berkenaan penting untuk mereka merancang kempen sama ada secara bersama atau berasingan bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

“Sebenarnya adalah lebih baik jika tidak ada pertembungan tiga penjuru jika UMNO bersama Perikatan Nasional (PN) yang menggunakan formula seperti di Sabah.

“Barisan Nasional (BN) bersama PN kita tidak bertembung. Jadi kita boleh buat kempen bersama dan menang besar,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Pada Jumaat, media melaporkan UMNO telah membuat keputusan untuk memanggil mesyuarat MKT bagi memutuskan sama ada mereka akan meneruskan kerjasama politik dengan Bersatu dan PN atau sebaliknya pada pilihan raya akan datang.

Memetik sumber media kemudiannya melaporkan pucuk pimpinan UMNO memutuskan untuk berpisah daripada Bersatu dan gabungan PN pada pilihan raya umum akan datang.

Bagaimanapun Jabatan Komunikasi Strategik (JKS) Penerangan UMNO pada Ahad menafikan dakwaan yang mengatakan parti itu tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dan gabungan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Berita Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/125029/BERITA/Politik/Bersatu-minta-UMNO-dedah-keputusan-rasmi-mesyuarat-MKT

COMMENTS

Wordpress (0)