Menteri yang gagal perlu sedia berundur.Langkah menyingkirkan perdana menteri atau mana-mana menteri yang tidak kompeten dan gagal menjalankan tugas dengan berkesan daripada Kabinet disifatkan sebagai saranan yang membina.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, kesemua 31 menteri dan 38 timbalan menteri di bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu sedia berundur sekiranya tidak membuktikan pencapaian masing-masing.
“Secara peribadinya, saya bersetuju dengan cadangan itu kerana prestasi kita dinilai daripada pencapaian bagi membuktikan sama ada peranan kita berkesan atau tidak.
“Jadi, mana-mana yang tidak cekap, diminta berundur tanpa perlu menunggu tempoh sehingga setahun misalnya kerana sekarang rakyat sensitif dan boleh menilai apa sahaja program atau tindakan pemimpin yang menimbulkan masalah kepada kerajaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz yang menyarankan agar Perdana Menteri atau mana-mana menteri yang tidak kompeten dan gagal menjalankan tugas dengan berkesan perlu disingkirkan daripada Kabinet dengan memberi laluan kepada individu lain yang boleh berkhidmat dengan lebih baik.
Katanya, seorang menteri tidak memerlukan tempoh tertentu seperti 100 hari kerana mereka seharusnya bekerja segera sebaik sahaja dilantik.
Sebelum ini, Ismail Sabri berkata, Kabinet pimpinannya perlu membuktikan pencapaian awal dalam tempoh 100 hari pertama dengan setiap kementerian diminta membuat perancangan jangka pendek dan panjang di samping mencapai sasaran yang ditetapkan.
Berita Penuh : https://www.utusan.com.my/nasional/politik/2021/10/singkir-menteri-gagal-cadangan-membina-rosol/