Menteri Syorkan Skuad Badar Bertemu Exco Kedah

Kumpulan antikhalwat Skuad Badar dari Kedah sepatutnya berjumpa dengan pihak kerajaan negeri, bukan pusat, kata menteri agama Mujahid Yusof.

Pemimpin Amanah itu berkata penguatkuasaan agama di negeri itu bukan berada bawah bidang kuasa pusat.

“Dia di negeri Kedah kan. Saya di pusat.

“Kalau penguat kuasa semua duduk di negeri, dia pergi jumpalah dia punya negeri dan bincang,” kata Mujahid ketika ditanya pemberita di lobi parlimen hari ini.

Skuad Badar, yang terkenal dengan tazkirah atas kubur kepada pasangan dituduh berkhalwat, semalam menuntut dialog dengan Mujahid dan polis.

Tuntutan itu dibuat selepas Mujahid pada Sabtu yang berkata pertindihan fungsi antara pihak berkuasa agama dan kumpulan persendirian akan menimbulkan kekacauan.

Polis Kedah sebelum ini berkata kumpulan terbabit bukan badan penguat kuasa agama yang sah dan tidak berkuasa menjalankan tindakan penguatkuasaan.

Minggu lalu Skuad Badar mengumumkan untuk meluaskan operasi.

Sementara itu, Mujahid hari ini berkata kumpulan itu patut merujuk kepada exco negeri.

Beliau, sambil memetik polis, sekali lagi menegaskan kumpulan persendirian tidak boleh terlibat dalam penguatkuasaan agama.

“Niatnya baik tetapi prosesnya harus memahami undang-undang,” kata Mujahid.

 

Sumber : https://www.malaysiakini.com/news/483005?utm_source=dlvr.it&utm_medium=facebook&fbclid=IwAR2Evk41KpBpIo1PUGDW1In-waoTZI4caSZlEjPGYGGJEX0TGxxuArWMGJE