Hala Tuju Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani: Prioriti dan Strategi 2019-2020 dirangka berasaskan tiga dimensi sektor agromakanan iaitu sekuriti makanan negara, pembangunan ekonomi luar bandar serta penggalakan pelaburan swasta dan perdagangan
antarabangsa.
Dokumen ini bertunjangkan lima halatuju utama yang akan dicapai melalui 18 strategi dan 51 inisiatif.
Hala Tuju Pertama: Memoden dan meningkatkan pengeluaran pertanian bagi menjamin kestabilan bekalan dan harga makanan negara dengan memberikan penekanan dalam subsektor padi, ruminan dan perikanan.
Hala Tuju Kedua: Merancakkan penglibatan pelaburan swasta dalam pertanian secara komersial serta meningkatkan dagangan eksport pertanian.
Hala Tuju Ketiga: Menjadikan pertanian sebagai satu sumber pendapatan yang mampan dan kukuh serta menguntungkan untuk petani, penternak, nelayan dan agropreneur muda.
Hala Tuju Keempat: Menambahbaik ekosistem industri pertanian untuk menyokong pemodenan pertanian, pelaburan sektor swasta dan aktiviti pengembangan untuk petani, penternak dan nelayan.
Hala Tuju Kelima: Memperkukuh struktur organisasi jabatan dan agensi di bawah Kementerian untuk menambahbaik sistem penyampaian serta tadbir urus Kementerian.
Dalam melaksanakan hala tuju ini, Kementerian berazam untuk menjadikan pertanian sebagai penyumbang penting ekonomi negara.
Kementerian juga berusaha untuk memastikan industri pertanian menjadi lebih berdaya saing dan mampu menarik penyertaan pelaburan swasta serta penglibatan agropreneur muda dalam
sektor pertanian.
Kementerian melalui Agrobank komited untuk menyediakan pembiayaan sebanyak RM290 juta bagi sektor pembiayaan mikro dalam tempoh sepanjang tahun ini.
Kementerian juga bertanggungjawab untuk menyediakan satu ekosistem yang berupaya memberi sokongan kepada semua pihak yang akan bersama-sama memastikan kejayaan hala tuju MOA seterusnya memperkukuh sektor agromakanan negara.
Beberapa langkah penting akan turut diambil untuk memperkukuh dan memartabatkan sektor agromakanan negara, iaitu:
1. Membangunkan Pengkalan Data Agromakanan Negara.
2. Bekerjasama dengan Kerajaan Negeri untuk membangunkan satu pelan induk yang komprehensif untuk pembangunan tanah bagi tujuan pertanian serta menyelesaikan isu-isu berkaitan tanah untuk pertanian.
3. Mengkaji semula dasar dan polisi yang “counter-productive” dan merencatkan
pelaksanaan perubahan yang hendak dibawa.
4. Bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan untuk menyediakan mekanisma perlindungan kewangan bagi rantaian sektor pertanian seperti insurans tanaman dan perlindungan hasil pendapatan.
5. Mewujudkan satu unit khas pelaburan bagi memudahcara pelaburan swasta dalam sektor agromakanan.
6. Menggembleng usaha yang bersepadu untuk memperkasakan generasi muda dalam bidang pertanian.