Menteri Pengangkutan patut tutup mulut insiden kemalangan LRT, biar siasatan berjalan

Menteri Pengangkutan patut tutup mulut insiden kemalangan LRT, biar siasatan berjalan

Sebuah kumpulan pengguna pengangkutan awam menggesa Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong supaya tidak membuat spekulasi berhubung punca kemalangan kereta api di laluan LRT Kelana Jaya Isnin lepas.

Presiden Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam Ajit Johl berkata, Wee tidak sepatutnya mengeluarkan “cebisan-cebisan” maklumat, sebaliknya membenarkan pasukan penyiasat menjalankan tugas mereka.

“Kenapa menteri pengangkutan membuat kenyataan spekulatif sedangkan pasukan penyiasat sudah pun ditubuhkan untuk meneliti kemalangan itu?” kata Ajit.

“Apakah beliau lebih tahu daripada pasukan inkuiri atau hanya mahu bercakap?”

Semalam Wee berkata, kecuaian manusia merupakan antara banyak faktor yang diteliti dalam siasatan yang dijalankan.

Ajit berkata, Wee sepatutnya membenarkan jawatankuasa berkenaan menjalankan siasatan menyeluruh, selain mahu keputusannya didedahkan kepada umum.

Beliau menggesa kumpulan pengguna turut dimasukkan ke dalam pasukan petugas berkenaan dengan berkata, ia akan meningkatkan kredibiliti siasatan yang dijalankan.

Pasukan petugas tersebut dipengerusikan oleh Isham Ishak, ketua setiausaha Kementerian Pengangkutan, sementara timbalan pengerusinya ialah Normah Osman, timbalan ketua setiausaha bahagian dasar kementerian.

Pegawai Kementerian Pengangkutan lain dalam pasukan itu ialah setiausaha bahagian darat Wan Mohd Asraf Wan Salleh; penasihat undang-undang Azlin Sabtu dan ketua inspektor kemalangan udara biro siasatan kemalangan udara Izani Ismail.

Panel pakar dalam pasukan petugas berkenaan terdiri daripada ketua bahagian rel Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat, Yuslizar Daud; pengurus sokongan penyelenggaraan semboyan ERL Maintenance and Services Sdn Bhd (EMAS) Anthony Arokianathan; Nor Aziati Abdul Hamid dari Pusat Kecemerlangan Industri Rel dan Wong Shaw Voon dari Fakulti Kejuruteraan Universiti Putra Malaysia.

Sekretariat pasukan petugas akan diketuai oleh Mohd Shahriman Shafein, ketua pengarah kereta api bahagian darat kementerian.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/05/27/tutup-mulut-biar-pasukan-petugas-jalankan-siasatan-wee-diberitahu/