Menteri minta semua pihak beri peluang kepada Danesh Raj

Semua pihak harus memberi peluang kepada Danesh Raj Nagarajan membuktikan kemampuannya sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Malaya (UM) dalam menyuntik idea baharu yang memberi kebaikan kepada universiti tertua negara itu.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad tidak menolak kemungkinan langkah sama mungkin akan dilakukan dalam pelantikan Ahli Lembaga Pengarah universiti awam lain, bagi memberi peluang dan ruang kepada suara orang muda dalam kepimpinan universiti.

“Danesh adalah alumni UM yang aktif dan namanya dicadangkan oleh alumni itu sendiri dan selepas meneliti kriteria ditetapkan, kita bersetuju dan membuat pilihan melantik beliau sebagai mewakili alumni universiti itu sebab kita hendak membawa suara orang muda di UM dalam memberi pendapat.

Menteri minta semua pihak beri peluang kepada Danesh Raj

Universiti Malaya Gambar Fail

“Kita harus percaya kebolehan orang muda dan beri mereka peluang membuktikan kemampuan dalam membantu universiti tersebut,” kata beliau selepas menghadiri program ‘outreach’ Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di Parlimen Bagan Datuk di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Bagan Datuk yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Noraini mengulas kenyataan Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) yang mempersoalkan pelantikan tersebut dengan menyatakan pihaknya tidak melihat sebarang nilai tambah yang boleh diberikan susulan pelantikan individu itu ke dalam jawatan berkenaan.

Persatuan pelajar itu dilaporkan turut mempersoalkan mengenai indeks prestasi utama (KPI) atau garis panduan yang diguna pakai dalam pemilihan anggota Lembaga Pengarah Universiti kerana berpandangan ramai lagi individu atau pihak lain yang berkelayakan bagi mengisi jawatan tersebut.

Menurut Noraini, Universiti Malaysia Pahang (UMP) juga mempunyai wakil alumni yang juga orang muda sebagai Ahli Lembaga Pengarah universiti tersebut dan telah membuktikan kemampuannya dan sangat aktif seperti melakukan jalinan beberapa program alumni untuk melakukan latihan kerja sambil belajar (internship) bersama beberapa industri.

Beliau juga percaya Danesh akan mendapat kerjasama semua pihak dan Ahli Lembaga Pengarah Universiti UM lain yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, kerjaya serta wakil pelbagai kategori dalam universiti.

Sementara itu, Noraini berkata, Kementerian Pengajian Tinggi memberi autonomi kepada pihak universiti untuk menentukan golongan mana yang dibenarkan pulang ke kampus untuk mengikuti pembelajaran secara bersemuka mulai 15 Oktober ini.

“Di peringkat universiti telah melakukan persiapan sewajarnya bagi membolehkan pelajar berkeperluan untuk masuk ke kampus dahulu seperti mereka yang akan mengambil peperiksaan tahun akhir, mereka yang perlu pergi ke makmal, perlu melakukan ujian amali dan pelajar yang tiada akses internet (di rumah) juga digalakkan kembali ke kampus,” katanya.

Mengenai program ‘outreach’ HCTM pula, Noraini menjelaskan sebanyak 2.5 juta vaksinasi dilakukan sejak dilaksanakan Jun lalu di seluruh negara dan akan diteruskan walaupun negara sudah mencapai 90 peratus vaksinasi.

“Program outreach ini sebagai usaha membantu orang ramai yang tidak berkemampuan untuk pergi ke Pusat Pemberian Vaksin disebabkan faktor keuzuran, kesihatan, tiada kenderaan dan sebagainya,” katanya.

Berita Penuh : https://www.utusan.com.my/nasional/2021/10/beri-peluang-danesh-raj-suntik-idea-buat-um/

BACA JUGA : Panas !!! Malaysia di senarai kelabu perhatian cukai EU

COMMENTS

Wordpress (0)