Mensucikan kesalahan pemimpin sendiri amalan biasa dalam Pas

Mensucikan kesalahan pemimpin sendiri amalan biasa dalam Pas

Kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin bahawa Dato’ Dr Khairuddin Aman Razali At Takiri yang melanggar perintah kuarantin wajib COVID-19 ketika lawatan ke Turki pada awal Julai yang lalu benar-benar menggemparkan. Ketika orang sudah mula reda dan melupakan kisah Menteri yang melanggar SOP itu, Datuk Hashim pula seperti melepaskan bom jangka yang meledak dalam kem PAS sendiri.

Saya sudah menjangka banyak pembelaan dari para pemimpin PAS akan diberikan kepada Dato’ Dr Khairuddin berhubung kesalahannya itu. Tolak tepi soal beliau salah atau tidak, melanggar peraturan dan undang-undang negara, yang penting siapa sahaja kalangan pemimpin PAS yang melakukan kesalahan pasti mendapat pembelaan sewajarnya. Kesalahan mereka akan ditutup dengan nas dan dalil bagi menghalalkan apa juga tindakan, sebaliknya mereka yang menuduh dan mentohmah pemimpin ini pula akan dipalit sebagai berdosa, hina, jelek dan terkutuk. Beruntung para pemimpin PAS yang ditaksubi oleh pemimpin dan ahli-ahlinya, waima apa juga kesalahan yang mereka lakukan!

Namun tidak pernah terduga Mursyidul Am PAS mengeluarkan hujah yang diluar dari akal kerangka pemikiran. Mengaitkan tindakan Dr Khairuddin dengan burung Hud-hud di zaman Nabi Sulaiman a.s. adalah hujah baharu yang langsung tidak terfikir oleh akal yang waras! Datuk Hashim menceritakan bagaimana burung Hud-hud yang tidak mengikut arahan Nabi Sulaiman a.s. untuk mencari sumber air. Ketika Nabi Sulaiman berang kepada Hud-hud apabila tidak memunculkan diri pada masanya, burung itu berkata bahawa dia telah terbang untuk melakukan pengintaian dan menemui kerajaan mewah di Saba yang diperintah Ratu Balkis. Nabi Sulaiman lalu mengampunkan hud-hud dan mengarahkannya terbang ke istana Ratu Balkis untuk menyampaikan surat dan memintanya tunduk kepada keesaan Allah.

Alangkah bahagianya pemimpin PAS ini apabila kisah beliau dikaitkan dengan kisah burung Hud-hud yang diabadikan di dalam Al Quran. Maksudnya, Dr Khairuddin tidak salah dari segi etika dan tindakan, kerana beliau sedang membawakan laba dan keuntungan besar kepada negara. Malah, beliaulah wira kebanggaan negara yang anggup merisikokan diri demi membawa pulangan hasil untuk negara. Dr Khairuddin dipotretkan sebagai seorang yang gigih bekerja untuk kementeriannya sehingga lupa atau tidak sempat untuk dikuarantin sepulang dari Turki pada 7 Julai itu.

Dengan demikian, tidak sepatutnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menghukum beliau dengan kompaun yang tinggi, begitu juga dengan Polis Di Raja Malaysia (PDRM) yang memanggil beliau untuk meberikan keterangan. Dr Khairuddin juga tidak perlu meminta maaf atas kesalahannya itu, dan tidak perlu memulangkan gaji menteri selama empat bulan. Bahkan, sepatutnya Dr Khairuddin diberi anugerah khas atas keberanian dan kebijakannya mendapat peluang pelaburan dari Turki. Beliau juga wajar ditambah gaji empat kali ganda atas usaha yang dilakukannya.Jarang ada menteri yang sanggup melanggar SOP Kuarantin demi ‘negara’ serta memulangkan balik gaji menterinya kerana kebenarannya itu.

Dengan peristiwa burung Hud-Hud dan Dr Khairuddin itu, mungkin ramai lagi selepas itu para pemimpin PAS yang akan menjadi suci bersih dengan perumpamaan dan kiasan kisah para Nabi dan Rasul. Hakikatnya rakyat tidak sedar bahawa PAS adalah perjuangan suci, benar dan mereka sahaja layak menentukan benar atau salah, menetapkan dosa dan pahala. Jika perjuangan mereka benar, para pemimpin mereka juga tentulah benar dan lurus. Justeru sesiapa yang menentang PAS dan pemimpinnya, mereka memilih haluan kiri dan boleh dibayangkan apa kesudahannya nanti.

Cuma saya musykil dalam kisah burung Hud-hud dan Dr Khairuddin itu. Jika Dr Khairuddin diumpamakan seperti burung Hud-Hud, siapakah pula untuk disamakan dengan Nabi Sulaiman a.s.? Apakah maksudnya Perdana Menteri Malaysia selayaknya disamakan dengan Nabi Sulaiman a.s., Presiden PAS atau Mursyidul Am PAS sendiri? Hanya Datuk Hashim Jasin boleh menjelaskan penutup kisahnya itu.

Sumber :

COMMENTS