Menjelang pengundian, parti-parti dalam GRS masih bertembung sesama sendiri

Menjelang pengundian, parti-parti dalam GRS masih bertembung sesama sendiri

Menjelang tempoh beberapa jam saja lagi untuk mengundi, Perikatan Nasional (PN) masih belum mencapai persetujuan bagi mengelakkan pertembungan sesama sendiri di 15 kerusi DUN.

Pun begitu, Setiausaha Agung PN, Hamzah Zainudin, berkata sejak beberapa hari lalu pihaknya berpendapat beberapa perkembangan baik sudah dicapai.

“Sekarang hanya tinggal kurang dari 72 jam, saya fikir semua mereka perlu betul-betul fokus kepada sesuatu untuk pastikan apa juga masalahnya kita perlu ambil alih kerajaan negeri,” katanya kepada media di ceramah perdana Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Kota Kinabalu malam tadi.

Bagaimanapun Hamzah berkata dia tidak mengikuti perkembangan rundingan membabitkan para pemimpin parti terbabit.

Meskipun bergabung dalam GRS untuk PRN kali ini, sebanyak 17 kerusi menyaksikan pertindihan calon sesama parti dalam gabungan berkenaan pada hari penamaan calon pada 12 Sept lalu.

Bagaimanapun Parti Bersatu Sabah (PBS) dan parti Solidariti Tanah Airku (Star) mencapai persetujuan separa untuk mengelakkan pertembungan tersebut pada 22 Sept.

PBS setuju untuk tidak meneruskan kempen di dua kerusi yang ditandinginya untuk memberi laluan kepada Star. Sebagai imbalan Star pula bersetuju memberikan sokongan kepada PBS di kerusi Bengkoka dan Api-Api.

Namun keadaan kembali menjadi rumit apabila pada hari sama calon bebas untuk kerusi Inanam, Kenny Chua, diterima menjadi anggota Star sekali gus menjadikan parti itu bertembung dengan PBS di kerusi berkenaan.

Keadaan sama berlaku di kerusi Tandek apabila Anita Baranting yang bertanding sebagai calon bebas untuk mempertahankan kerusinya itu memohon menyertai Star.

Ia menjadikan kerusi berkenaan ditandingi Parti Bersatu Rakyat Sabah, Star dan PBS ketika ketiga-tiga parti terbabit merupakan anggota komponen PN dan GBS.

Ditanya mengenai perkembangan itu Hamzah berkata, dia terkejut dengan apa yang berlaku.

“Saya tak tahu, ia merupakan kejutan kepada saya,” katanya ringkas sebelum berlalu.

Sementara itu Setiausaha Agung PBS, Jahid Jahim, yang turut menghadiri ceramah sama enggan memberi komen mengenai perkembangan terbaru itu.

“Saya tak ada komen sebab ini perkembangan baru. Biar saya semak dulu.

“Kita ni bertanding dalam pilihan raya, kita tak ada masa untuk berpecah-belah sesama sendiri,” katanya.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/543989

COMMENTS