Begitu juga ketika dia diminta membantu untuk memulihkan Bank Islam pada tahun 2006 tidak lama selepas Danaharta ditutup. Ketika itu, Bank Islam berada dalam keadaan kucar-kacir dan mengumumkan kerugian sebanyak RM1.3 bilion. Malah menurut Zukri, secara teknikalnya, Bank Islam sudah pun muflis. Menggunakan kepakaran dan pengalaman yang ada, Zukri berjaya memulihkan keadaan. Sehingga kini, kedudukan Bank Islam boleh dikatakan setara dengan bank-bank konvensional yang lain di Malaysia.

“Kejayaan Danaharta sebenarnya satu kejayaan besar bagi negara, cuma kita terutama orang Asia ini selalunya tidak suka menghebohkan sangat pencapaian sendiri. Kita lebih suka menyimpan pengalaman tersebut untuk diri sendiri. Kalau perkara ini berlaku di negara-negara Barat, saya rasa mungkin pengalaman seperti ini sudah dibukukan.

 

“Saya masih ingat lagi ketika berkongsi pengalaman dengan Bank Dunia di Washington D.C mengenai cara dan pendekatan yang diambil oleh Danaharta, soalan pertama ditanya oleh penonton ialah konsultan mana yang telah kami guna sebagai penasihat,”.

“Ini bererti mereka tidak yakin bahawa orang Malaysia boleh mencipta model yang telah dilaksanakan Danaharta dan beranggapan kami menggunakan perkhidmatan konsultan dari negara luar,”. Pada masa itu, saya dapat merasakan bagaimana kami dipandang rendah. Namun saya memberitahu mereka bahawa semuanya dirancang dan dilaksanakan sendiri oleh rakyat Malaysia,” ujarnya berkongsi pengalaman ketika ditemui di Menara Bank Islam baru-baru ini.

Ujarnya, kertas kerja formula ketika di Danaharta itu turut dikompilasi dalam satu buku. Bukan itu saja, Danaharta turut diiktiraf sebagai antara syarikat pengurusan asset (AMC) yang paling berjaya di dunia. Pencapaian tersebut meninggalkan kenangan manis buat dirinya setelah bertungkus-lumus menjalankan tanggungjawab yang diberi.

Perjalanan kerjaya beliau di Danaharta bukanlah semudah yang disangka. Cerita Zukri, cabaran pertama di Danaharta ialah bagaimana hendak menggalakkan bank supaya menjual pinjaman tidak berbayar kepada Danaharta.

“Sebagai contoh, jika bank mempunyai pinjaman tidak berbayar sebanyak RM1 juta, sudah tentu ia hanya menjualkan hutang tersebut dengan jumlah yang sama kepada Danaharta. Jika tidak, bank akan mengalami kerugian,”. Dari perspektif Danaharta pula, kalau kita membayar RM1 juta kepada bank, ini sudah tentu merugikan Danaharta kerana ia merupakan NPL. Jika ini berlaku, ia akan merugikan wang rakyat,”.

“Satu formula yang kami namakan 80:20 rule – 80 peratus daripada keuntungan akan dipulangkan kepada bank dan 20 peratus akan disimpan oleh Danaharta diperkenalkan dan saya rasa ia cukup menarik dan tidak pernah dilakukan sebelum ini”. Formula tersebut ternyata berkesan kerana kami telah berjaya mengeluarkan NPL sebanyak RM58 bilion dari sistem perbankan dalam masa yang pantas iaitu hanya dalam 18 bulan,” terangnya.

Cabaran kedua pula menurut Zukri ialah bagaimana caranya untuk membayar pinjaman NPL kepada institusi kewangan yang menjualnya tadi kerana pada masa itu kerajaan tidak mempunyai sumber kewangan disebabkan oleh keadaan ekonomi ketika itu. Untuk itu, Danaharta mengeluarkan bayaran dalam bentuk bon jaminan kerajaan yang mempunyai tempoh matang lima tahun.

Ini bermakna jika Danaharta, dalam masa lima tahun, tidak berjaya membuat kutipan yang cukup bagi menebus balik bon tersebut maka kerajaan Malaysia terpaksa menanggung pembayaran tersebut. Cabaran seterusnya adalah untuk memastikan Danaharta berjaya mengutip semula hutang lapuk tadi sebanyak mungkin supaya bon-bon tersebut dapat ditebus semula dari hasil kutipan. Jika tidak, kerajaan terpaksa menanggung bebannya.

“Alhamdulillah, kami berjaya melepasi sasaran. Malah, bukan sahaja dapat membayar balik kesemua bon, tapi kami juga berjaya mengutip lebih daripada sasarannya sehingga kami berjaya memulangkan lebih daripada RM1 bilion kepada institusi kewangan yang menjual hutang lapuk kepada Danaharta berdasarkan kepada formula 80:20 rule yang saya sebutkan tadi.

“Tambahan lagi, kami berjaya mendapat lebihan dari hasil kutipan iaitu lebih kurang RM200 juta yang kemudiannya dikembalikan kepada kerajaan,” ujarnya.