Mengapa perlu nafi? Realiti situasi di hospital Lembah Klang memang kritikal

Mengapa perlu nafi? Realiti situasi di hospital Lembah Klang memang kritikal

Mengapa perlu nafi? Realiti situasi di hospital Lembah Klang memang kritikal. Kakitangan kesihatan dan NGO menyatakan kekecewaan terhadap sesetengah pegawai kesihatan kerana menafikan “situasi kritikal” yang dihadapi hospital di Lembah Klang ketika ini.

Ramai kakitangan awam ketika ini tidak sanggup bersuara secara terbuka kerana bimbang dikenakan tindakan.

Namun, mereka tetap menyuarakan rasa kecewa apabila ada pegawai yang memperkecil perkara itu, di sebalik usaha mereka untuk mengatur bantuan kepada hospital.

Ada yang meluahkan kekecewaan di media sosial, namun Malaysiakini tidak mendedahkan mereka kerana risiko tindakan yang mereka hadapi.

hospital

Misalnya mereka membangkitkan tindakan Hospital Selayang yang cepat menafikan dakwaan berdepan masalah kekurangan bekalan oksigen.

Ia walaupun kakitangan kesihatan yang bercakap dengan Malaysiakini mengesahkan pesakit terpaksa berkongsi port oksigen.

“Kami tidak tahu apa lagi yang harus dilakukan, kami tidak ada oksigen yang cukup untuk pesakit. Pesakit pula tidak ada tempat tidur. Semua orang hanya berusaha yang terbaik.

“Kami tahu ini adalah pelanggaran protokol, tetapi keadaan buruk. Lebih baik kita berusaha melakukan sesuatu daripada tidak melakukan apa-apa,” kata seorang kakitangan kesihatan yang enggan dinamakan.

Pihak luar juga telah mengatur usaha untuk menyediakan bekalan oksigen percuma ke hospital tetapi isu itu dianggap sebagai berita “palsu”.

“Hospital Selayang tidak pernah menghadapi masalah dengan bekalan oksigen.

“Jabatan Kesihatan Selangor menasihati orang ramai agar berhati-hati dengan posting yang tidak disahkan dan tidak menyebarkannya,” kata Hospital Selayang dalam hantaran di Facebook.

Malaysiakini difahamkan pihak hospital sejak itu telah menerima sumbangan tangki oksigen.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dalam kenyataan berasingan menegaskan bahawa bekalan oksigen di hospital itu mencukupi.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Dr Sha’ari Ngadiman, berkata inisiatif kutipan dana tersebut tidak dilakukan oleh mana-mana anggota Hospital Selayang.

“Adalah dimaklumkan bahawa inisiatif kutipan dana tersebut tidak dilakukan oleh mana-mana anggota Hospital Selayang.

“Pengurusan Hospital Selayang atau kakitangan hospital juga tidak meminta mana-mana pihak untuk mengumpulkan dana bagi pihak Hospital Selayang.

“Hospital Selayang mempunyai sejumlah 1,325 port dan pada masa ini bekalan tangki oksigen adalah mencukupi,” katanya.

Awal minggu ini, Kementerian Kesihatan menyatakan gambar yang memaparkan pesakit Covid-19 yang ramai di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Melawati Shah Alam sebagai “tidak benar”.

Ia kemudian meminta maaf atas “kekeliruan” itu.

Dr Rafidah Abdullah, seorang doktor perunding dan ahli nefrologi di Hospital Putrajaya, dalam ciapan di Twitternya berkata langkah mengakui hospital di Lembah Klang “sudah lumpuh” bukanlah satu kesalahan.

“Sebagai seorang professional, kita tidak boleh menipu. Berkata ‘tidak benar’ pun tidak boleh, sebenarnya. Jangan kita terjebak dengan permainan sandiwara yang tidak nampak kesudahannya.

“Tiada salahnya mengesahkan maklumat hospital dan fasiliti kesihatan kerajaan (termasuk univesiti) sekitar Lembah Klang banyak yang sudah lumpuh. Memang tidak menang tangan. Ini adalah kenyataan dan realiti.

“Saya percaya yang rakyat Malaysia semua akan lebih daripada menerimanya. Merekalah sumber semangat juang kami setakat ini,” katanya ada 8 Julai lalu.

Lembah Klang menghadapi lonjakan kes Covid-19 walaupun dengan penguatkuasaan sekatan pergerakan penuh.

Kes baru di Selangor mencatat angka tertinggi semalam, dengan 4,400 kes, manakala Kuala Lumpur dengan 1,271 kes baru.

Berita Penuh : https://www.malaysiakini.com/news/582512

Jika Terlepas: Ziarah Tun Abdullah, netizen persoal tindakan Annuar Musa