Bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Datuk Dr Awang Sariyan menggesa pihak kerajaan supaya tidak meneruskan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Beliau berkata, gesaan tersebut dilakukan kerana sebelum ini dasar yang pernah dimulakan pada 2003 itu telah terbukti gagal dilaksanakan sebelum dimansuhkan sepenuhnya pada 2012.
Bekas pensyarah Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya itu menegaskan hasil kajian golongan sarjana dan lapan buah universiti juga sudah membuktikan PPSMI tidak berjaya.
“Saya masih ingat, kajian DBP dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menunjukkan lebih 30 peratus tidak dapat mengikuti pengajaran dalam bahasa Inggeris.
“Kita mahu anak-anak kita bijak dalam pelajaran Sains dan Matematik, bukanlah melalui penggunaan bahasa lain.
“Saya juga boleh mengesahkan tidak ada negara di dunia ini yang mahu mencerdikkan anak bangsa dalam subjek Sains dan Matematik dengan menggunakan Bahasa Inggeris,” katanya secara eksklusif kepada Malaysia Dateline, hari ini.
Dr Awang mengulas demikian ketika ditanya perancangan kerajaan yang mahu melaksanakan semula dasar PPSMI.
Beliau ditemui pada sidang media khas Isu PPSMI oleh Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) di pejabat Sekreatriat Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Taman Melati hari ini.
Dalam pada itu, Dr Awang turut mempersoalkan penubuhan Pusat Kecemerlangan Bahasa Inggeris dan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI).
“Kementerian sudah pun menubuhkan Pusat Kecemerlangan Bahasa Inggeris manakala Tan Sri Muhyiddin Yassin menubuhkan MBMMBI.
“Semuanya telah bergerak cantik, tetapi mengapa masih tidak puas hati mahu melaksanakan juga PPSMI. Ini yang saya tidak faham,” hujahnya.
Seperkara lagi, Dr Awang memaklumkan kerajaan menetapkan 60 peratus untuk aliran Sains, manakala 40 peratus aliran Sastera untuk kemajuan negara.
“Dengan PPSMI ini, tidak mungkin (berlaku) kerana pelajar aliran Sains tinggal 20 peratus lebih sahaja.
“Jadi, negara kerugian kerana murid-murid, pelajar takut mahu masuk ke aliran Sains kerana ianya diajar dalam bahasa Inggeris dan ini satu kesan besar.
“Jadi, bahasa Inggeris kita tingkatkan dengan cara bahasa itu. Matematik dan Sains sudah membuktikan kejayaaan pembelajaran dalam Bahasa Melayu.
“Beberapa juta anak bangsa atau pun anak warganegara Malaysia yang telah lulus dengan cemerlang dalam subjek tersebut,” ujarnya.
Di sebalik gesaan beliau supaya kerajaan tidak melaksanakan semula PPSMI, Awang turut menawarkan khidmat kumpulan pejuang bahasa.
“Jangan laksanakan (PPSMI). Itu sebab kumpulan pejuang bahasa menawarkan khidmat untuk membantu sektor pendidikan bagi meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris.
“Kita menawarkan khidmat itu, tetapi kami tidak anti kepada bahasa Inggeris. Kalau itu hasrat Tun Mahathir, insyaAllah kita akan membantu,” tambahnya lagi.
Berita Asal https://malaysiadateline.com/mengapa-masih-tidak-puas-hati-mahu-laksanakan-juga-ppsmi/