Mengapa kompaun RM10,000 dilihat ‘mencekik’? Ikuti kupasan peguam ini…

Mengapa kompaun RM10,000 dilihat ‘mencekik’? Ikuti kupasan peguam ini…

Ketika ini ramai warga awam merungut dan meruap dek kerana tindakan Kerajaan menggubal dan menguatkuasakan undang-undang yang dilihat dan dirasakan menekan hidup warga.

Pada 23 Februari 2021, Kerajaan mengisytiharkan Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang mula berkuatkuasa pada 11 Mac 2021. Ordinan ini khusus meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Antara pindaan utama melalui Ordinan Darurat ini ialah pemindaan Seksyen 25 dengan menaikkan kadar maksima kompaun daripada RM1,000 kepada RM10,000 bagi individu yang disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta/Ordinan ini manakala bagi pertubuhan perbadanan ialah tidak melebihi RM50,000.

Pindaan berbunyi :

Ketua Pengarah atau mana-mana pegawai diberi kuasa yang diberi kuasa bagi maksud ini oleh Ketua Pengarah secara bertulis boleh, dengan keizinan secara bertulis Pendakwa Raya, pada bila-bila masa sebelum sesuatu pertuduhan dimulakan, mengkompaun mana-mana kesalahan di bawah Akta ini atau mana-mana peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Akta yang telah ditetapkan oleh peraturan sebagai sesuatu kesalahan yang boleh dikompaun dengan membuat suatu tawaran bertulis kepada orang yang disyaki dengan munasabah telah melakukan kesalahan itu untuk mengkompaun kesalahan itu apabila dibayar kepada Ketua Pengarah –

a) dalam hal seseorang itu merupakan seorang individu, suatu jumlah wang yang tidak melebihi RM10,000; atau

b) dalam hal sesuatu pertubuhan perbadanan, suatu jumlah wang yang tidak melebihi RM50,000.

Berdasarkan peruntukkan di atas, apa yang ditumpukan ialah kadar kompaun RM10,000 bagi individu dan RM50,000 bagi pertubuhan/syarikat.

Sebagai warga yang celik, kita perlu lihat keseluruhan peruntukkan.

Pertama yang perlu kita ambil perhatian ialah kuasa untuk mengkompaun.

Ordinan ini hanya memberi kuasa kepada Ketua Pengarah atau mana-mana pegawai diberi kuasa yang diberi kuasa bagi maksud ini oleh Ketua Pengarah secara bertulis boleh, dengan keizinan secara bertulis Pendakwa Raya. Jadi, apabila seseorang yang disyaki melakukan kesalahan hendak dikompaun, orang yang hendak mengeluarkan kompaun tersebut MESTILAH Ketua Pengarah atau mana-mana pegawai diberi kuasa yang diberi kuasa secara bertulis oleh Ketua Pengarah. Bukan sekadar diberikan kuasa secara bertulis oleh Ketua Pengarah, dia juga mesti dengan keizinan bertulis oleh Pendakwa Raya.

Maksudnya di sini, jika seorang pegawai polis hendak mengeluarkan kompaun kepada orang yang disyaki melakukan kesalahan, pegawai polis tersebut perlu terlebih dahulu diberi kuasa secara bertulis daripada Ketua Pengarah dengan keizinan bertulis Pendakwa Raya. Jika seorang polis itu tiada kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah dan tiada keizinan bertulis daripada Pendakwa Raya, pegawai polis tersebut TIDAK BOLEH mengeluarkan tawaran kompaun. Jika tawaran kompaun dikeluarkan oleh mereka yang tidak diberi kuasa secara bertulis Ketua Pengarah dengan keizinan bertulis Pendakwa Raya, tawaran kompaun tersebut TIDAK SAH dan TIADA KUAT KUASA.

Kedua, apa itu kompaun?

Kompaun ialah suatu tawaran penyelesaian oleh Ketua Pengarah atau mana-mana pegawai diberi kuasa kepada orang yang disyaki melakukan kesalahan pada bila-bila masa sebelum sesuatu pertuduhan dimulakan.

Jika seseorang melakukan kesalahan, beliau boleh didakwa di Mahkamah yang mana jika disabitkan bersalah di Mahkamah, boleh dijatuhkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak lebih 7 tahun atau kedua-duanya.

Jadi bagi mengelakkan hukuman di Mahkamah, tawaran kompaun dibuat. Sebab itu disebut pada bila-bila masa sebelum sesuatu pertuduhan dimulakan.

Ketiga, adakah kompaun perlu dibayar?

Jika orang yang ditawarkan kompaun merasakan beliau benar-benar melakukan kesalahan, beliau boleh membuat bayaran.

Jika merasakan tidak melakukan kesalahan, kompaun tidak perlu dibayar.

Keempat, adakah semua jumlah kompaun perlu dijelaskan.

Kadar kompaun yang ditetapkan ialah tidak melebihi RM10,000 bagi individu dan RM100,000 bagi syarikat. Kata kuncinya ialah “tidak melebihi” tanpa ada “tidak kurang”, justeru jumlah kompaun yang boleh dibayar ialah antara 1 sen sehingga RM10,000 mengikut budi bicara pihak yang menguatkuasakan undang-undang. Walau pun di dalam tawaran kompaun dinyatakan jumlah RM10,000 tetapi jika pihak penguatkyasa benarkan bayaran minima, ianya boleh dilakukan.

Kesan tidak bayar kompaun.

Jika kompaun tidak dibayar, orang yang disyaki melakukan kesalahan boleh dituduh di Mahkamah dan proses biasa Mahkamah berjalan.

Apa yang penting ialah kita jaga diri kita, disiplin diri, jangan takut walau apa pun berlaku.

Sekarang banyak pihak menawarkan bantuan khidmat nasihat dan bantuan guaman termasuk pihak yang membuat undang-undang itu sendiri.

Maksudnya mereka sendiri takut dengan undang-undang yang nereka gubal dan kuatkuasakan. Biar mereka takut dengan bayang-bayang mereka.

Kita mesti kekal berani dan gunakan kuasa yang ada pada kita.

Sumber :