Mengapa Covid-19 memerlukan kepantasan pakej rangsangan ekonomi segera?

Mengapa Covid-19 memerlukan kepantasan pakej rangsangan ekonomi segera?

Apabila COVID19 mula menular saya mula teringatkan pada tahun 1997 apabila Malaysia terlibat di dalam krisis ekonomi pada ketika itu.

Memetik pandangan Tun Dr Mahathir, COVID19 akan menyebabkan kita kembali ke zaman 1997 malah lebih parah daripada ketika itu. Suatu tindakan cepat amat perlu pada ketika ini.

Kerajaan terutamanya Menteri Kewangan sudah sepatutnya telah menyediakan kertas plan pemulihan ransangan ekonomi(stimulate economy) bagi tempoh jangka pendek dan panjang bagi rakyat Malaysia untuk meneruskan kesinambungan hidup.

PEKERJA GAJI HARIAN

Apabila YAB PM Tan Sri Muhyiddin Yassin membentangkan wang KWSP boleh di keluarkan oleh pencarum bagi akuan 2 sebanyak RM500 ringgit, pelbagai reaksi dari pelbagai lapisan masyarakat diterima.

Saya mula terfikirkan bagaimana nasib insan yang tidak pernah mempunyai potongan KWSP di sepanjang hayatnya?

Mari kita meneliti pekerja yang mengambil upah bekerja di kedai makan umpamanya. Mereka hanya di berikan gaji harian seperti tukang masak, pembancuh air, pengambil pesanan makanan/minuman dan tukang cuci.

Pada ketika ini Restoran mahupun kedai makan mengalami defisit jualan berbanding sebelumnya. Mengelakan daripada kerugian kerana ketiadaan pelanggan menyebabkan pengusaha terpaksa menutup perniagaan.

Bagaimana dengan nasib pekerja yang di bayar gaji harian? Ketika bekerja biasanya mereka akan di berikan makan dan minum percuma oleh pengusaha. Ada kalanya lebihan jualan di bawa pulang kerumah. Apabila ini berlaku, keseluruhan keluarga bagaikan terputus semua kos sara hidup.

SEKTOR PERTANIAN

Begitu juga dengan nasib penoreh, pekebun kecil, nelayan dan petani yang tentunya tidak pernah menerima gaji bulanan untuk di buat potongan KWSP.

Kumpulan inilah sebenarnya pegawai keselamatan makanan negara(national food security officer) yang selama ini membekalkan makanan buat kita seperti ikan, sayuran dan beras.

Saya belum lagi memperincikan keseluruhan mereka yang terlibat seperti pembajak(traktor), penyembur racun/baja, pengait buah dan lain-lain.

PENIAGA PASAR MALAM

Kelompok ini juga di antara kumpulan yang paling terkesan dengan perintah larangan yang berkuat kuasa. Punca rezeki mereka tergantung pada jumlah pendapatan harian. Meneruskan kehidupan harian tanpa pendapat amatlah menyakitkan.

Pembuat makanan, penjual baju, penjual pelbagai alatan, buah-buahan malah pelbagai lagi.

PENGUSAHA INDUSTRI KECIL SEDERHANA

Kebiasaan pengusaha kecil sederhana akan membentuk komuniti perniagaan bersama sebilangan kecil pembantu yang di bayar gaji. Pembantu-pembantu ini akan hilang pendapatan pendapatan harian apabila pemasaran produk tidak berlaku.

PENGUSAHA TADIKA/NURSERY

Atau dengan kata lain pusat asuhan atau pun penempatan kanak-kanak pra-sekolah turut terjejas.

GRAB/TEKSI

Mungkin ada di kalangan mereka menjadikan ini hanyalah sambilan(part time) tetapi ramai juga di kalangan mereka yang kita dapati menjadikannya sebagai pekerjaan sepenuh masa meliputi di seluruh negara.

Pemandu teksi mengeluh apabila perniagaan mereka merosot 90% kerana tiada penumpang.

SYARIKAT SWASTA

Saya simpulkan di sini sebagai contoh seperti firma guaman, firma audit dan lain-lain. Mungkin ada pemilik mempunyai dana kerana telah terlalu lama berkecimpung di dalam bidang tersebut sehinggakan masalah kewangan mereka tidak ketara.

Namun nasib pekerja-pekerja mereka harus di ambil kira terutama pembantu am, kerani mahupun tukang sapu apabila operasi syarikat perniagaan terpaksa di hentikan 100%.

SEKTOR PELANCONGAN

Bagi Malaysia, industri pelancongan
merupakan yang kedua terbesar penghasilan tukaran asing selepas Petronas. Kehilangan pendapatan yang paling membimbangkan kerana banyak pihak bernaung di bawahnya.

Di banyak kawasan menunjukkan
penurunan kadar pendapatan berkurangan sebanyak 70%. Rakyat yang bekerja dalam industri pelancongan akan kehilangan kerja dan pendapatan.

Para pekerja turut menderita kerana mereka bakal di buang kerana sektor ini tidak lagi mampu berfungsi seperti sedia kala. Ini amatlah buruk kerana pekerja ini juga perlukan kehidupan berbelanja makan dan minum. Saya perincikan pihak yang terlibat:

HOTEL, CHALET, HOMESTAY
DAN BUDJET HOTEL

Kesan yang cukup besar bila berhadapan dengan COVID19. Larangan keluar rumah telah menjadikan hotel seperti yang saya sebut di atas menjadi lengang tidak berpenghuni. Nasib pekerja di bidang perhotelan kini menjadi perhitungan.

Penularan wabak COVID19 telah menyebabkan pembatalan lebih 155,000 tempahan bilik hotel dengan ancaman kerugian sebanyak RM66 juta.

SYARIKAT PENERBANGAN

Pergerakan udara kini terhenti. Sesetengah syarikat penerbangan mengumumkan langkah mengurangkan kos seperti potongan gaji bagi pengurusan, juruteknik dan kru kabin, kearah mengurangkan sasaran pertumbuhan penumpang.

Sebanyak 1,576 penerbangan dari syarikat penerbangan Malaysia telah dibatalkan ekoran wabak koronavirus (COVID19) sejak 1 Januari sehingga 29 Februari lalu.

PEMANDU PELANCONG(TOUR GUIDE)

Sektor pelancongan menjunam akibat pengurangan mendadak kedatangan pelancong. Tiada lagi pelancong samada dalam mahupun luar negeri. Pendapatan mereka terjejas secara langsung berkait rapat dengan kehadiran pelancong.

Saya simpulkan kesemua ini kesan yang amat buruk kepada industri pelancongan sehingga menyebabkan syarikat penerbangan menderita, hotel, pengangkutan awam dan pengusaha restoran turut rugi.

Apabila majikan tidak membuat untung bagi menampung pekerja maka pengurangan kos terpaksa di lakukan samada memotong gaji atau terpaksa memberhentikan pekerja.

RANSANGAN EKONOMI (STIMULATE ECONOMY)

Saya amat tertarik untuk bersetuju dengan plan ransangan ekonomi berjumlah RM20 Billion yang telah di umumkan Tun Dr Mahathir pada 27 Februari 2020 bagi mendepani kesan COVID19 untuk memperkukuhkan semula pertumbuhan ekonomi negara. Ini di buat ketika plan tersebut mempunyai 20 kes.

Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia(MIER) menyeru kerajaan agar peruntukan di pertingkatkan jumlahnya dari RM20 Billion kepada RM75 Billion berdasarkan peningkatan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) dan jumlah kes COVID19 yang mencecah 1796 terkini.

Pakej rangsangan ini mempunyai tiga strategi utama iaitu:

  1. Menangani impak COVID19
  2. Memangkin pertumbuhan berteraskan rakyat
  3. Menggalakkan pelaburan berkualiti. Antara langkah khusus termasuk memperbaiki aliran tunai perniagaan yang terjejas, merangsang penggunaan dan perbelanjaan swasta serta menggiatkan aktiviti pelaburan domestik.

Malah saya teramat yakin jika semua pihak terutamanya pihak Kerajaan dengan pihak swasta serta orang ramai dapat bekerjasama dengan baik segalanya akan segera membawa negara mengharungi tempoh yang mencabar ini kembali pulih seterusnya menjadikan ekonomi negara lebih kukuh, berdaya tahan dan berdaya saing.

PROJEK PEMBANGUNAN

Kajian pembangunan keperluan amat perlu pada ketika ini untuk meneliti pengstrukturan semula mengikut keutamaan(priority).

Kebanyakan daripada projek menguruskan pembangunan hendaklah di hentikan buat seketika untuk memberikan perhatian kepada keperluan rakyat untuk mengisi keperluan hidup.

PINJAMAN(LOAN)

Melalui langkah ini, Kerajaan perlu mengembalikan keyakinan pengusaha perniagaan yang terjejas agar dapat meneruskan operasi supaya aktiviti ekonomi domestik kembali rancak dan seterusnya mengekalkan pekerjaan untuk orang ramai dalam sektor yang berkaitan.

Oleh itu pihak perbankan mestilah memudahkan pembiayaan pinjaman beserta kadar faedah yang rendah supaya dapat merangsangkan kembali pertumbuhan ekonomi agar semua pihak terutamanya industri kecil sederhana (IKS), sektor pelancongan dan industri yang berurusan dengan negara China memberi kesan kepada perolehan keuntungan syarikat dan pendapatan keluarga.

Begitu juga dengan fungsi Tekun, Amanah Ikhtiar, SME Corp mestilah di lipat kali gandakan keterbukaannya agar peniaga dapat berurusan dengan mudah dan cepat.

Kita juga mahu Kerajaan memberikan arahan penangguhan pembayaran bank ansuran dalam semua jenis pinjaman rakyat samada pinjaman rumah, kereta dan pembiayaan peribadi.

Ini bertujuan menambahkan aliran tunai boleh di gunakan sebagai kuasa membeli di kalangan rakyat semasa berhadapan dengan kemelut ekonomi kesan COVID19.

CORPORATE SOSIAL RESPONSIBILITY(CSR)

Banyak yang boleh di perkatakan tentang ruang lingkup CSR terutamanya dalam 3 perkara asas yang perlu di beri penekanan khusus iaitu:

  1. Kesihatan
  2. Pendidikan
  3. Bantuan bekalan makanan

Bagi melaksakan tujuan tersebut pihak Government Link Company(GLC) seperti TM, Khazanah dan lain-lain lagi yang sentiasa mencatatkan keuntungan besar kepada negara agar segera turun kebawah menghulurkan bantuan.

Pihak Zakat juga tidak terkecuali. Kita mahukan penyelarasan di semua negeri dan di semua peringkat agar tidak ada pihak yang tercicir.

Begitu juga dengan pihak Masjid. Anak khariah yang berada di dalam jarak lingkungan masjid perlu mendapat perhatian Tuan Imam supaya keluarga marhain mendapat bantuan selaras dengan tuntutan ugama. Ada masjid yang mempunyai simpanan yang banyak tetapi tidak di gunakan.

Saya juga tertarik dengan cadangan Datuk Seri Anwar Ibrahim di petik sebagai berkata, “Gunakan rizab yang besar, sama ada dalam kerajaan atau Petronas untuk selamatkan rakyat sekarang,” ujar beliau ketika menolak cadangan pengeluaran wang KWSP oleh kerajaan.

Cadangan yang hampir sama juga di suarakan oleh Dr. Muhammed Abdul Khalid bekas penasihat ekonomi mantan Perdana Menteri, “Pada waktu kecemasan beginilah masanya untuk kita berbelanja untuk rakyat dan gunakan simpanan negara seperti Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) yang berjumlah hampir RM 17 Bilion dan rizab negara yang melebihi RM400 Bilion. Inilah fungsi simpanan”.

Sesuai dengan Surah Yusuf Ayat 47~49:

قَالَ تَزۡرَعُوۡنَ سَبۡعَ سِنِيۡنَ دَاَبًا​ۚ فَمَا حَصَدْتُّمۡ فَذَرُوۡهُ فِىۡ سُنۡۢبُلِهٖۤ اِلَّا قَلِيۡلًا مِّمَّا تَاۡكُلُوۡنَ‏.
Yusuf menjawab: “Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan.(47)

ثُمَّ يَاۡتِىۡ مِنۡۢ بَعۡدِ ذٰلِكَ سَبۡعٌ شِدَادٌ يَّاۡكُلۡنَ مَا قَدَّمۡتُمۡ لَهُنَّ اِلَّا قَلِيۡلًا مِّمَّا تُحۡصِنُوۡنَ‏.
Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemaraun yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih).(48)

ثُمَّ يَاۡتِىۡ مِنۡۢ بَعۡدِ ذٰلِكَ عَامٌ فِيۡهِ يُغَاثُ النَّاسُ وَفِيۡهِ يَعۡصِرُوۡنَ.
“Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya)”.(49)

Allah SWT apabila menceritakan sesuatu kisah menerusi Al-Quran, sudah pasti ia bukan semata-mata releven untuk zaman tersebut sahaja, bahkan ia sesuai untuk menjadi pengajaran sampai bila-bila.

Daripada ayat 47 hingga 49, boleh disimpulkan bahawa setiap pemimpin pada setiap negara perlu menyediakan satu pelan strategik bertindak bagi menghadapi satu keadaan kemuncupan ekonomi yang tidak diduga.

Menurut model kitaran ekonomi melalui Surah Yusuf, jumlah rizab makanan(perbendaharaan negara) di naikkan dan penggunaannya di kawal dalam nisbah yang munasabah pada tempoh ekonomi menguncup kerana rakyat sudah tidak berdaya menghadapi saat genting.

Ibrah dari ayat 47~49 Surah Yusuf:

Y = Yakinlah pada rezeki milik Allah.

U = Usaha bersungguh-sungguh menyediakan bekalan makanan untuk rakyat(Food Security) di iringi doa serta tawakkal.

S = Simpanan dahulu(menabung/rezab) buat perbendaharaan negara dan akan melakukan perbelanjaan dengan mengeluarkan simpanan/rezab apabila di perlukan.

U = Utamakan keperluan yang utama(priority) bila berbelanja jangan mengikut hawa nafsu.

F = Fokus keperluan barangan keperluan rakyat serta kawalan ketat harga barangan tersebut agar tidak meningkat sewenang-wenangnya.

Setiap kitaran perniagaan atau kitaran ekonomi supaya lebih spesifik akan ada turun naik di antara tempoh pengembangan(pertumbuhan) dan penguncupan(kemelesetan).

Faktor-faktor seperti Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), pengangguran, perbelanjaan, indeks harga pengguna dan upah benar boleh menentukan peringkat semasa kitaran ekonomi.

PENUTUP

Bagi memastikan keberkesanan pakej rangsangan yang dirangka saya sekali lagi menggesa pihak kerajaan dan sektor swasta hendaklah turut sama mengambil tanggungjawab untuk memainkan peranan merancakkan semula ekonomi negara.

Langkah ini akan meneruskan momentum pertumbuhan ekonomi dan meletakkan ekonomi negara pada landasan yang lebih kukuh.

Saya percaya usaha kolektif semua pihak yang sayangkan negara mampu menghasilkan sesuatu yang bermakna buat rakyat Malaysia.

Asmirul Anuar Aris
Chartered Accountant
EXCO Kerajaan Negeri Kedah

“Biar Jasa Jadi Kenangan”

https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=10222858240791486&id=1440792454