MEMFEUDALKAN DUNIA AGAMAWAN

Gelaran dan darjah kebesaran adalah manifestasi kepada budaya dan sistem feudal bagi melambangkan status sosial dan politik seseorang. Saya kira, sistem ini diwarisi zaman berzaman kerana mungkin ada keperluan-keperluan tertentu dalam menyusun sistem kuasa dan autoriti pentadbiran yang bernaung di bawah penguasa atau kerajaan.

Simbol adalah sangat penting dalam sistem politik yang berteraskan budaya dan pemikiran feudal. Simbol dan kuasa telah lama tersemat dan tercerakin menjadi satu identiti yang tidak terpisah. Gelaran dan darjah kebesaran adalah simbol. Simbol adalah lambang kuasa dan kedudukan. Setiap punca kuasa mesti ada simbolnya.

Apabila para agamawan mula bersaing dipentas politik dan perebutan kuasa, maka dunia agamawan juga mula di’feudal’kan.

Membina hiraki penjawat agama memang telah lama wujud di kalangan penganut Katolik. Mereka ada Pope, Cardinal, Archbishop, Bishop dan Paderi. Begitu juga dikalangan penganut Syiah. Ada Grand Ayatullah, Ayatullah, Hujjatul Islam, dan seumpamanya.

Saya tidak fikir di kalangan masyarakat Sunni amalan ini pernah diinstitusikan sebegitu rupa. Ya … kita ada panggilan hormat seperti sheikh, ustaz, dan tuan guru. Tetapi ianya dibuat tanpa ada unsur-unsur yang bersifat institusional. Ia tidak pernah menjadi hiraki rasmi yang menjadi simbol autoriti dalam agama.

Saya fikir, menginstitusikan darjah kebesaran dan simbol yang melambangkan hiraki di dalam dunia keagamawanan adalah fenomena baru yang boleh ditafsirkan sebagai mem’feudal’kan dunia agamawan.

Baik atau buruk … masing-masing pastinya ada pandangan sendiri.

Jamzuri Ardani