Membongkar hubungan Joe Biden dengan Netanyahu

Biden mula mengenali dan berkawan rapat dengan Netanyahu sejak tahun 80-an lagi. Waktu itu Biden merupakan antara senator muda dalam Parti Demokrat dan Netanyahu pula adalah pegawai tinggi Kedutaan Israel di Washington DC.

Mereka terus berkawan rapat sehinggalah Netanyahu menjadi Perdana Menteri Israel pada tahun 1996. Bagaimanapun Netanyahu kalah beberapa tahun kemudian iaitu pada tahun 1999. Dikhabarkan, Biden adalah satu-satunya senator dari Parti Demokrat AS yang menulis surat secara peribadi kepada Netanyahu selepas kekalahan beliau. Di dalam surat tersebut, Biden menulis ” … walaupun anda kalah, anda telah melakukan perkara yang betul ketika menjadi PM”.

Hubungan Biden dengan Netanyahu menjadi agak kekok apabila beliau menjadi Naib Presiden di bawah pentadbiran Presiden Obama. Hubungan Israel – AS berada pada tahap paling buruk di bawah pentadbiran Obama dan Netanyahu.

Obama adalah President AS yang dianggap kurang memberi perhatian kepada tuntutan Israel. Tindakan Obama mengadakan Rundingan Damai dengan Iran mencemaskan Israel. Netanyahu pula kerap mengkritik polisi pentadbiran Obama ke atas Israel didalam ucapannya samada di Israel mahupun di peringkat antarabangsa.

Di saat hubungan yang tegang ini, Obama menghantar Biden yang diketahuinya mempunyai hubungan peribadi yang rapat dengan Netanyahu untuk membincangkan bagaimana mengeratkan hubungan dua hala antara dua negara sekutu tersebut. Obama telah beberapa kali memberi amaran kepada Israel bahawa pembukaan penempatan Yahudi yang baru di wilayah Palestin menyukarkan pentadbirannya berhadapan dengan pendapat umum di AS. Beliau mahu Netanyahu menghentikan polisi rejim Israel yang suka menambah penempatan baharu Yahudi di wilayah Palestin yang didudukinya. Netanyahu menjawab, “menghentikan penempatan baru Yahudi bermakna membekukan kehidupan rakyat Israel”.

Pada hari Biden mendarat di lapangan Terbang Israel, Netanyahu mengumumkan bahawa kerajaan Israel telah meluluskan satu lagi penempatan baharu Yahudi di wilayah Palestin. Tindakan ini dibuat seolah-olah sengaja mencabar kewibawaan pentadbiran AS di bawah Presiden Obama. Pegawai-pegawai Rumah Putih yang mengiringi Biden merasa terhina dan berang. Mereka mendesak Biden membatalkan pertemuannya dengan Netanyahu dan pulanmg semula ke AS sebagai reaksi tindakan biadap Israel tersebut. Bagaimana pun Biden bertegas akan meneruskan pertemuannya dengan Netanyahu bagi membincangkan hubungan dua hala antara dua negara sekutu tersebut. Begitulah eratnya hubungan Biden dan Netanyahu.

Bagaimanapun peristiwa terbaru serangan bom ke atas Gaza oleh Israel yang membunuh ramai kanak-kanak di Gaza menjelang Aidilfitri tahun ini telah meletakkan Biden di dalam situasi yang agak sukar. Terdapat bantahan yang sangat kuat dari anggota-anggota Parti Demokrat ke atas serangan Israel tersebut. Ini sangat jarang berlaku dalam politik AS di mana Israel biasanya mendapat sokongan secara bi-partisan, samada dari parti Demokrat mahupun Republikan.

Minggu lepas, Presiden Biden melawat bandar Detroit dalam satu program yang tidak ada kena mengena dengan politik antarabangsa. Bagaimanapun, sebaik sahaja beliau turun dari kapalterbang, beliau dimarahi oleh beberapa ahli Kongres Demokrat dari Michigan yang menyambutnya kerana membiarkan pembunuhan kanak-kanak dan wanita di Gaza. Mereka mahu Biden menghentikan serangan tersebut. Suara-suara di dalam Parti Demokrat sangat kuat mengecam serangan terbaru Israel ke atas Gaza.

Beberapa tokoh politik Parti Demokrat berbangsa Yahudi turut lantang mengecam serangan Israel ke atas Gaza. Antaranya ialah Senator Jon Ossef dari Georgia. Ini merupakan fenomena baru yang tidak berlaku sebelum ini.
Umum mengetahui bahawa pertempuran terbaru antara Israel dan Palestin dicetuskan berikutan isu Sheikh Jarrah di Jerusalem. Tanah yang diduduki oleh keluarga Sheikh Jarrah mahu diambil untuk dijadikan penempatan baru Yahudi. Ini berikutan keputusan Mahkamah Agong Israel yang memberi kebenaran kepada pemaju Yahudi untuk menghalau keluarga Sheikh Jarrah dari tanah yang diduduki mereka sejak tahun 1950-an lagi. Walaupun keputusan mahkamah tersebut belum dikeluarkan secara rasmi, tetapi ramai yang telah mengetahuinya keputusan tersebut walaupun rejim Israel meminta mahkamah menangguhkan dahulu pemakluman keputusan tersebut.

Di AS, walaupun rakyatnya secara umum menyokong Israel tetapi kebanyakan mereka tidak setuju dengan pembukaan penempatan Yahudi di wilayah Palestin. Jadi, apabila pertempuran berlaku dan kematian di pihak Gaza agak besar mereka menyalahkan Israel kerana mencetuskan konflik tersebut.

Ini menjadikan Biden serba salah. Di satu pihak, Parti Republiokan mengecam Biden kerana gagal mempertahankan Israel dengan lebih aggresif seperti yang mereka mahukan. Di satu pihak lagi. beliau berhadapan dengan kemarahan anggota-anggota partinya sendiri kerana gagal menghentikan pembunuhan orang awam di Gaza.

Sumber dari Rumah Putih menyebut, Biden secara tertutup memberi tekanan kepada Netanyahu agar segera menghentikan pengeboman tetapi membuat kenyataan umum mempertahankan tindakan Israel. Menurut sumber tersebut, Biden memberitahu Netanyahu sekiranya beliau tidak segera mengentikan pengeboman, Israel mungkin berhadapan risiko kehilangan sokongan ‘public opinion’ dan sokongan bi-partisan dari rakyat AS seperti yang dinikmatinya sebelum ini.

Sumber :

COMMENTS

Wordpress (0)