Kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu tidak menyebabkan orang Melayu hilang kuasa atau kedudukan Islam terjejas, kata Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Saya hendak beritahu orang Melayu, setelah Pakatan Harapan menang pilihan raya, orang Melayu tidak hilang kuasa. Yang hilang kuasa ialah UMNO,” katanya ketika berucap merasmikan serentak perhimpunan tahunan Srikandi dan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) di sini malam ini.
Perhimpunan sayap parti Bersatu itu membuka tirai Perhimpunan Agung Tahunan kedua parti komponen PH tersebut mulai hari ini hingga Ahad.
Muhyiddin berkata orang Melayu seharusnya bersyukur UMNO kalah kerana dengan kekalahan itu pemimpin UMNO tidak lagi mempunyai apa-apa kuasa untuk menutup segala kesalahan dan penipuan mereka.
“Apabila hilang kuasa, segala kesalahan mereka terbongkar dan pemimpin mereka terpaksa berdepan dengan pendakwaan di mahkamah,” kata Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri dalam ucapan bertemakan ‘Era Baharu Perjuangan Melayu’.
Beliau berkata selepas UMNO dan PAS kalah pada PRU14, kedua-duanya mengambil pendekatan politik perkauman dan agama yang ekstrem semata-mata untuk mendapatkan sokongan orang Melayu
Menurutnya, mereka menabur fitnah kononnya orang Islam sudah tidak selamat di Malaysia, kedudukan raja-raja Melayu sebagai ketua agama Islam akan terjejas, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan dihapuskan dan undang-undang membenarkan amalan LGBT dan perkahwinan sejenis akan diluluskan oleh Parlimen.
“Telahan pembangkang ini ternyata meleset sama sekali. raja-raja Melayu masih bersemayam sebagai ketua agama Islam, Jakim masih tegak berdiri dan mustahil undang-undang membenarkan amalan LGBT dan perkahwinan sejenis diluluskan oleh Parlimen Malaysia yang majoriti anggotanya adalah orang Islam yang berpegang kepada ajaran Ahli Sunnah Waljamaah,” jelasnya.
Bahkan, Muhyiddin berkata beliau percaya anggota Parlimen bukan Islam juga ramai yang tidak bersetuju dengan amalan LGBT yang bertentangan dengan ajaran agama masing-masing.
Pimpinan PH juga, katanya telah bersepakat untuk mendukung kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Dengan kata lain, kedudukan agama Islam akan terus terpelihara di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan,” kata Muhyiddin..
Dalam mengajak umat Islam supaya bersama Bersatu dan kerajaan PH dalam perjuangan membela umat Islam di negara ini, beliau berkata Bersatu bersedia menerima pandangan pertubuhan-pertubuhan Islam dalam membentuk acuan Malaysia Baharu.
“Untuk itu, saya mencadangkan penubuhan sebuah Majlis Pemuafakatan Ummah dianggotai wakil kerajaan dan badan-badan Islam untuk bersama menyumbang kepada pembangunan ummah di Malaysia,” katanya.
Menurut Muhyiddin, walaupun jelas di depan mata bahawa kedudukan agama Islam kekal terpelihara, UMNO dan PAS terus menabur fitnah perkauman dan agama semata-mata untuk memburukkan kerajaan PH di mata umat Islam.
“Ini adalah amalan politik yang amat tidak sihat. Selain meracuni pemikiran umat Islam dengan pelbagai fitnah, penggunaan isu agama secara melampau untuk kepentingan politik yang sempit akan menimbulkan kebencian antara masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara kita,” katanya.
“Jika tidak dibendung, amalan politik kotor ini akan turut mempengaruhi pelbagai kumpulan dalam masyarakat dan memusnahkan perpaduan yang kita kecapi selama ini,” kata Muhyiddin.
Presiden Bersatu itu seterusnya berkata jika UMNO dan PAS menyangka mereka boleh menang pilihan raya dengan menabur fitnah berbaur sentimen agama, beliau ingin berpesan kepada kedua-duanya janganlah bermimpi di siang hari.
“Orang Melayu sudah kenal siapa UMNO, siapa PAS. Kedua-duanya dua kali lima sahaja. Seorang perompak, seorang lagi nama sahaja Islam tetapi sanggup bercium mulut dengan perompak,” kata Muhyiddin.
Sebagai sebuah parti yang baharu menerima mandat rakyat, Muhyiddin mengingatkan Bersatu supaya sentiasa bermuhasabah diri dan sedar bahawa kuasa adalah satu amanah yang berat, bukan hak atau keistimewaan atau sesuatu untuk bermegah-megah.
“Khususnya bagi mereka yang berada dalam kerajaan, tumpukan sepenuh perhatian kepada tugas dan tanggungjawab sebagai anggota kerajaan. Kurangkan berpolitik, banyakkan bekerja. Berusahalah sehabis daya untuk menyelesaikan segala permasalahan rakyat. Sedarlah bahawa rakyat sedang menilai pencapaian kita sebagai kerajaan,” katanya.
Muhyiddin turut mahu sokongan padu terus diberi kepada Perdana Menteri merangkap Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad dalam usahanya memulihkan negara dan sekali lagi melonjakkan Malaysia ke mercu kejayaan dan kegemilangan di persada dunia.
Selain itu, beliau mahu sayap Srikandi dan Armada memperbanyak program kaderisasi untuk menarik minat anak muda yang berbakat menyertai parti berkenaan.
Meluahkan kesyukuran majoriti anggota Bersatu adalah anak muda, beliau berkata ini petanda amat baik kepada masa depan parti untuk kekal relevan pada hari-hari mendatang.