Melayu akan hilang kuasa? Penulis ini buktikan sebaliknya….

Melayu akan hilang kuasa? Penulis ini buktikan sebaliknya….

Menakut-nakutkan Melayu akan hilang kuasa ini adalah gejala percaya kepada hantu kopek.

Ditakut-takutkan akan hilang kuasa kepada bangsa lain sedangkan Melayu majoriti. Dalam Parlimen Melayu tidak pernah surut di bawah 60% suara perwakilannya. Namun digembar-gembur Melayu akan hilang kuasa.

Melayu Malaysia adalah bangsa majoriti yang berfikir dan bertindak seperti minoriti.

Yang menjadi hambatan adalah kerana Melayu yang ada berpecah. Itu sebabnya. Pemimpin Melayu bercakaran, rasuah dalam banyak urusan, bakat kepimpinan disekat, sistem dirobek demi kuasa, akhirnya saki baki suara yang ada dibeli dengan wang ringgit.

Bila hilang punca disalahkan pula bangsa lain dan dikaitkan dengan agama. Mudah. Ini akan bakar semangat Melayu agar menyokong semangat kononnya demi Melayu.
Melayu yang durjana tidak pula diperangi habis-habisan. Sedangkan Melayu inilah yang menganiaya Melayu.

Selama berdekad Melayu berkuasa kenapa pengaruh Melayu menguncup? Ali Baba dan pelbagai ketirisan kartel kepada kaum lain ini kerja Bangla dan Nepalkah? Keruntuhan institusi Melayu ini angkara bukan Melayukah?

Pemimpin-pemimpin Melayu yang tumpul daya fikir ini kerja bukan Melayukah meletakkan mereka di situ?

Jika benar adanya salah laku, tidakkah kita sudah ada undang-undangnya? Gunakanlah, tidak kira pesalah Melayu atau bukan. Ataukah kita anggap undang-undang boleh diherotkan demi kepentingan juak kita saja?

Jika benar salah, betulkan. Jika senget, luruskan. Aneh, dasar afirmatif masih gagal lepas berkali-kali cuba diluruskan, tidak afirm afirm juga. Berterabur dasar-dasar baru, natijahnya? Salah bukan Melayu juga?

Isunya adalah ketirisan dalam pelaksanaan. Isunya adalah integriti. Sistem ini bukankah bikinan dan kawalan Melayu?

Isunya adalah Melayu di dalam sistem yang jiwanya boleh dibeli, maka kartel menjadi-jadi.

Menuding salah orang lain ini mudah tetapi ianya meludah ke langit.

Kalau Melayu bangkit menghayati nilai sebenar ajaran Islami, maka Melayu akan sigap berdiri sebagai bangsa bermaruah.

Dahulu ada ibu yang menakut-nakutkan anak dengan hantu kopek agar anak akan pulang sebelum senja. Menakut-nakutkan ini kerja mudah. Namun, kaedah yang benarnya adalah dengan menitipkan pedoman agama, bahawa pulang sebelum maghrib bersiap untuk berjemaah.

Ajarkan anak-anak amalan mathurat kerana ini menghalau jauh hantu dan syaitan.

Takut dengan hantu kopek ini terbawa-bawa ke tua, di pentas politik pula.

Kita perlu nilai Islami tulen untuk menyemuh fikrah khurafat ini.

Sumber
: