Melaka United buru khidmat pemain import kelima

Pasukan Liga Super, Melaka hampir memuktamadkan kuota lima pemain import bagi memperkuatkan skuad Kancil untuk menghadapi Liga Malaysia 2019 yang bermula 1 Februari ini.

Ketua jurulatih Melaka, Zainal Abidin Hassan berkata beliau sedang meneliti khidmat pemain di bahagian pertahanan dari negara Asia atau ASEAN untuk pasukan Melaka.

“Setakat ini kita sudah berjaya mendapatkan empat pemain import iaitu Montenegro, Serbia, Korea Selatan dan Brazil.

“Ada seorang lagi pemain import yang masih beraksi pada Piala Asia 2019 dan seorang lagi masih tunggu kelulusan pihak pengurusan, namun kita akan pilih salah seorang daripada mereka untuk mengisi kuota pemain Asia/ASEAN,” katanya ketika ditemui Bernama selepas menghadiri majlis pelancaran Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) musim 2019 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Zainal Abidin berkata beliau berpuas hati dengan keputusan positif yang dilakar pada enam aksi persahabatan pramusim setakat ini iaitu menentang Selangor United, Negeri Sembilan dan wakil Liga Singapura, Warriors FC, selain tiga aksi persahabatan di Vietnam, baru-baru ini.

Beliau turut mendedahkan pasukannya akan beraksi dalam dua lagi aksi pemanas badan menentang Sarawak pada 21 Januari dan UiTM FC, selang lima hari kemudian di Melaka sebagai persiapan terakhir menghadapi aksi pembukaan Liga Super 2019 menentang Petaling Jaya City FC di Stadium Hang Jebat, Melaka pada 2 Februari ini.

Petaling Jaya City FC sebelum ini dikenali sebagai MIFA dan dinaikkan pangkat beraksi dalam Liga Super 2019 selepas memenuhi syarat yang ditetapkan oleh MFL.

Ditanya mengenai lilitan kapten, Zainal Abidin menjelaskan beliau menyerahkan perkara berkenaan kepada Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) untuk membuat keputusan muktamad.

MUSA sebelum ini berjaya mendapatkan khidmat beberapa bekas pemain kebangsaan iaitu Safiq Rahim dari Johor Darul Ta’zim, Muhammad Shukor Adan (Felda United) dan Mohd Razman Roslan (Selangor) yang pernah mengetuai pasukan masing-masing sebelum ini.

“Kita akan mengadakan mesyuarat pengurusan bersama pemain dan pegawai untuk memberi kata putus kepada mereka mengenai tugas selaku kapten pasukan,” jelasnya.