Melaka, Negeri Sembilan meterai perjanjian sempadan darat

Melaka dan Negeri Sembilan hari ini memeterai perjanjian sempadan darat antara kedua-dua negeri itu, melibatkan jajaran sepanjang 89.1 kilometer.

Majlis menandatangani memorandum persefahaman dan perjanjian sempadan yang disaksikan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar itu berlangsung di Perdana Putra di sini, dengan Melaka diwakili oleh Ketua Menterinya, Adly Zahari, manakala Negeri Sembilan di wakili Menteri Besarnya Datuk Seri Aminuddin Harun.

Dr Xavier berkata dengan termeterainya perjanjian itu, Melaka dan Negeri Sembilan akan memulakan rundingan penentuan sempadan maritim antara negeri hingga ke had tiga batu nautika (laut wilayah negeri) dengan memberikan tumpuan kepada garisan sempadan maritim.

“Penyelesaian sempadan antara negeri sangat dititikberatkan oleh kerajaan pusat kerana penentuan jajaran muktamad membolehkan kerajaan negeri mentadbir dan melaksanakan pembangunan sekitar sempadan dengan teratur dan terancang.

“Menerusi perjanjian ini, aktiviti kawalan dan pemantauan daripada pencerobohan dan penerokaan tanah-tanah kerajaan secara haram serta penguatkuasaan di kawasan persempadanan juga dapat dipermudahkan,” katanya dalam sidang media selepas pemeteraian perjanjian itu.

Beliau berkata jarak keseluruhan jajaran sempadan antara Melaka dan Negeri Sembilan sejauh 89.1km itu bermula dari Lubok Kedondong ke Muara Sungai Linggi.

Katanya kerja-kerja penandaan dan pengukuran dilaksanakan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) selaku competent authority dalam hal ehwal persempadanan mulai 2 Feb 2015 hingga 16 Dis 2015.