Melaka bentang belanjawan lebihan, peruntuk RM390 juta

Kerajaan Negeri Melaka hari ini membentangkan Belanjawan 2020 melibatkan peruntukan RM390 juta dengan lebihan RM220,000 daripada hasil keseluruhan RM390.22 juta, mencatat belanjawan lebihan ke-16 berturut-turut.

Ketua Menteri Adly Zahari berkata jumlah peruntukan bagi perbelanjaan mengurus itu menunjukkan peningkatan 2.03 peratus berbanding tahun ini sebanyak RM382.23 juta, namun peningkatan itu adalah minimum setelah mengambil kira langkah penjimatan dan komitmen sedia ada.

“Daripada anggaran perbelanjaan tersebut, RM9.17 juta adalah untuk maksud tanggungan dan RM380.83 juta untuk maksud bekalan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap membentangkan belanjawan negeri bertemakan ‘Memakmurkan Rumah Kita di Bawah Payung Rahmatan Lil Alamin’ pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka di Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh di sini.

Katanya perbelanjaan mengurus RM390 juta itu adalah terdiri daripada perbelanjaan untuk dasar sedia ada berjumlah RM378.42 juta, dasar baharu sejumlah RM3.32 juta dan ‘One Off’ sebanyak RM8.26 juta.