Kerajaan negeri Melaka akan membangunkan kawasan pelancongan kulinari di Menara Taming Sari di Bandar hilir di sini sebagai satu daripada produk pelancongan baharu di negeri ini, kata Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri Melaka Datuk Muhammad Jailani Khamis.
Beliau berkata kawasan yang akan menempatkan kira-kira 18 pengusaha produk pelancongan tempatan khususnya makanan tradisi masyarakat atau etnik Melaka itu bertujuan mempelbagaikan subsektor pelancongan negeri tersebut khususnya sempena Tahun Melawat Melaka 2019.
Katanya kawasan pelancongan kulinari yang dijangka dibuka secara rasmi pada Ogos ini mampu menempatkan lebih 100 pengunjung pada satu-satu masa untuk menjamu selera di situ.
“Sebagaimana yang kita tahu masyarakat Melaka terdiri daripada pelbagai kaum dan etnik yang mempunyai makanan atau masakan unik serta tersendiri.
“Kelebihan ini perlu dimanfaatkan kerana salah satu subsektor pelancongan yang mendapat permintaan tinggi atau disukai pelancong sama ada dari luar negara atau tempatan ialah makanan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Festival Masakan Warisan Melaka 2019 di sini, hari ini.
Majlis tersebut dirasmikan isteri Ketua Menteri Melaka Dalilah Awaluddin dan turut dihadiri Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka Mohd Nasrudin Rahman.
Mengulas lanjut, Muhammad Jailani berkata kawasan pelancongan kulinari itu juga bukan sahaja dapat mempromosikan makanan tradisi atau warisan tempatan kepada pelancong malah memastikan makanan tersebut dapat terus diketengahkan untuk generasi muda akan datang.
Beliau berkata sebagai contoh, masih ramai anak muda tempatan khususnya rakyat Melayu Melaka tidak mengetahui beberapa masakan atau makanan tradisi seperti kuih tepung puli dan kuih koye.
Terdahulu, katanya festival yang berlangsung selama tiga hari bermula semalam itu disertai 40 pengusaha makanan dan inap desa di dalam dan luar Melaka serta muzium negeri yang mengetengahkan makanan warisan negeri masing-masing.
“Sebanyak 80 masakan atau makanan warisan dan tradisional dipamer dan dijual pada festival tiga hari ini. Pengunjung atau pelancong yang hadir juga dapat mencuba makanan berkenaan secara percuma,” katanya.