Melaka bakal jadi medan uji pertembungan Umno dan Bersatu

Melaka bakal jadi medan uji pertembungan Umno dan Bersatu. Jika pilihan raya negeri diadakan di Melaka, ia akan dilihat sebagai medan ujian ketika Umno dan Bersatu bakal bertembung dalam pilihan raya umum akan datang, kata dua penganalisis politik.

James Chin dari Institut Asia Universiti Tasmania berkata satu-satunya jalan untuk keluar daripada krisis politik di negeri itu adalah dengan mengadakan pilihan raya negeri – yang akan menentukan kedudukan antara Umno dan Bersatu.

“Jika ia adalah satu persaingan yang terbuka untuk semua, orang ramai akan meneliti keputusan (Umno lawan Bersatu) dan membuat strategi untuk pilihan raya umum nanti,” kata Chin kepada FMT.

Spekulasi mengenai pilihan raya negeri di Melaka timbul selepas empat orang ADUN semalam berkata mereka telah menarik sokongan kepada Ketua Menteri Sulaiman Md Ali.

Empat orang itu termasuk ADUN Sungai Udang yang juga bekas ketua menteri, Idris Haron yang mengumumkan kerajaan negeri Melaka telah tumbang.

Melaka

Chin berkata beliau tidak melihat sebarang prospek rundingan pengagihan kerusi antara dua parti berkenaan dan ia mungkin persaingan secara terbuka di semua kerusi majoriti Melayu yang dianggapnya sebagai satu “perkara yang baik”.

Perselisihan antara Umno dan Bersatu dilihat sebelum kejatuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) terdahulu lagi dan Umno telah menyatakan pendirian tidak akan bekerjasama dengan Bersatu dalam pilihan raya umum akan datang.

Bekas ahli akademik Azmi Hassan berkata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi melihat kepada “gambaran lebih luas” apabila mencadangkan supaya pilihan raya negeri diadakan.

Katanya, isu yang timbul antara Idris dan Sulaiman yang kedua-duanya daripada Umno, boleh diselesaikan secara dalaman.

Bagaimanapun, Umno mahu melihat bagaimana kedudukannya dalam pertembungan dengan Bersatu.

“Ia akan menjadi satu ujian yang baik untuk Umno dan sebab itu mengapa mereka mahu melakukan pertaruhan di Melaka,” katanya.

Chin dan Azmi berkata krisis di Melaka menjadi satu petunjuk terhadap isu dalaman yang berlaku dalam Umno.

Azmi berkata, sekiranya Umno menang, ia akan menjadi masalah besar kepada Bersatu.

Chin pula berkata jika Bersatu menang, ia bukan satu petanda baik untuk Zahid dan kem yang menyokongnya di Melaka di mana beliau mempunyai pengaruh besar di situ.

Bagaimanapun, Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura memberi amaran kepada Pakatan Harapan (PH) yang memainkan peranan mereka untuk menjatuhkan kerajaan Melaka sambil mengingatkan gabungan itu mengenai hasil yang dilihat selepas Muhyiddin ditekan untuk meletakkan jawatan sebagai perdana menteri.

Pembangkang dilihat bersemangat untuk menjatuhkan Muhyiddin ketika itu, hanya untuk menggantikannya dengan Ismail Sabri Yaakob.

“Tidak ada sebarang jaminan bahawa anda (pembangkang) akan menjadi sebahagian daripada kerajaan jika membantu salah seorang dalam Umno untuk menjatuhkan orang lain,” katanya.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/10/05/melaka-jadi-medan-ujian-pertembungan-umno-dan-bersatu-kata-penganalisis/

BACA: Suntikan kosong : “Kenapa ada dua picagari atas meja?”