Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA) menjalin kerjasama strategik dengan Beijing MXJ Information Technology Co. Ltd. wakil dari Persatuan Francais dan Rantaian Runcit China, untuk meningkatkan kerjasama dalam industri francais dan sektor peruncitan di Malaysia dan China.
Menurut kenyataan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal ehwal Pengguna, memorandum persefahaman (MoU) mengenainya ditandatangani di Shanghai New International Expo Center,sempena Ekspo Francais China 2019.
MoU itu disaksikan oleh Timbalan Menteri berkenaan Chong Chieng Jen.
“Perniagaan francais merupakan sektor yang penting dalam ekonomi negara berdasarkan sumbangnya sebanyak RM30.3 bilion kepada KDNK pada 2018.
“Jualan runcit dan sektor pemborongan bagi separuh pertama 2019 bernilai M112.3 bilion,” menurut kenyataan itu,
Chong kini berada di Shanghai, China dalam misi tiga hari mempromosi francais antarabangsa Malaysia ke wilayah berkenaan dari 23 hingga 25 Ogos.
Misi itu turut disertai wakil dari Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Persatuan Francais Malaysia (MFA).
Komuniti francais Malaysia yang aktif di China sejak lima tahun lepas, menjangkakan trend itu akan berkembang.
Kini terdapat kira-kira 12 Jenama Francais Malaysia di China dengan 278 premis, termasuk 20 di Shanghai, manakala terdapat 19 jenama francais China menembusi pasaran Malaysia.
Menerusi bantuan agensi seperti MATRADE, 66 jenama francais Malaysia kini menembusi 65 negara.
BERNAMA