MCA tuduh Lim Guan Eng, punca feri Pulau Pinang dihentikan

Bekas Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini menafikan beliau pernah bersetuju atau mencadangkan supaya perkhidmatan feri Pulau Pinang dihentikan.

Lim berkata beliau dan bekas Menteri Pengangkutan Anthony Loke tidak pernah mencadangkan perkara itu sebaliknya menyokong supaya pengangkutan ikonik negara itu dikekalkan.

Saya dan Anthony Loke tidak pernah pada bila-bila masa ketika menjawat jawatan Menteri Kewangan dan Menteri Pengangkutan berkata perkhidmatan feri hendaklah dihentikan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Terminal Feri Raja Tun Uda hari ini.

Beliau berkata perkhidmatan feri adalah ikonik dan merupakan pengangkutan bersejarah Pulau Pinang yang harus dikekalkan.

“Saya tidak menentang pengenalan Katamaran namun perkhidmatan feri ini harus dijalankan selari dengan feri yang sedia ada,” katanya.

Baru-Baru ini, menerusi satu hantaran di Facebook, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mendakwa Lim telah memutar belit isu kerana kerajaan Pakaran Harapan sebelum ini pernah mencadangkan supaya perkhidmatan feri dihentikan dan diganti dengan katamaran.

Lim, yang juga Setiausaha Agung DAP, berkata keputusan yang dibuat Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz baru-baru ini untuk mengekalkan perkhidmatan feri adalah keputusan yang tepat.

“Saya berterima kasih kepada Menteri Kewangan kerana bersetuju dengan permintaan saya agar perkhidmatan feri dikekalkan.

“Ia bukan bermakna saya menentang perkhidmatan katamaran tetapi biarlah ia dijalankan secara serentak seperti yang disyaratkan,” katanya.

Beliau berkata feri adalah perkhidmatan asas Pulau Pinang sejak 126 tahun lepas dan jika ia diteruskan, generasi akan datang turut berpeluang merasai pengalaman menaiki pengangkutan itu.

Berita penuh : https://www.astroawani.com/berita-malaysia/guan-eng-nafi-sokong-langkah-hentikan-perkhidmatan-feri-pulau-pinang-273891

COMMENTS

Wordpress (0)