MCA adalah penyelesai masalah, jambatan yang menyatukan – Wee Ka Siong

MCA adalah penyelesai masalah, jambatan yang menyatukan – Wee Ka Siong

Bagi Presiden MCA Wee Ka Siong, sejak ditubuhkan pada 72 tahun lalu, parti itu telah menjadi asas kepada kestabilan politik dan berusaha untuk menjadi penyelesai masalah, bukan mencetuskannya.

Menerusi ucapan sempena ulang tahun ke-72 MCA yang disampaikan secara dalam talian, Wee berkata kehidupan rakyat telah terkesan dengan ketidakstabilan politik, penularan Covid-19 dan kesan ekonomi yang disebabkannya.

Katanya, dalam keadaan ini MCA ingin menjadi parti yang menghulurkan bantuan, bukan menyukarkan lagi keadaan.

“Tiba-tiba, kita ada dalam situasi di mana kita terpaksa duduk di rumah, sementara industri berdepan waktu yang sukar dan mencabar dengan ramai yang terpaksa membuat perubahan.

“Sama ada perubahan politik atau perubahan kerana impak wabak, kita semua telah mendapat pengajaran yang besar,” katanya ketika berucap di Wism MCA di Kuala Lumpur.

“Tiba-tiba, Perikatan Nasional (PN) menjadi kerajaan dan MCA kembali sebagai gabungan pemerintah,” katanya lagi.

MCA ditubuhkan pada 27 Februari 1949. Pernah menguasai sehingga 31 kerusi Parlimen pada PRU 2004, parti itu kini hanya mempunyai dua wakil di Dewan Rakyat.

Walaupun hilang sokongan sebahagian besar masyarakat Cina yang kini dilihat memilih DAP, Wee tetap yakin peranan parti itu masih penting.

“Sejak parti ini ditubuhkan, kita sentiasa bekerjasama dengan rakan-rakan dari kaum berbeza untuk membina negara dan mencapai status politik baru untuk masyarakat Cina di negara ini.

“Kita sentiasa mampu berdepan dengan masyarakat Cina dan kaum lain dengan nurani yang jelas.

“Kita adalah penyelesai masalah, bukan pembuat masalah; kita adalah jambatan yang menyatukan, bukan yang memecahkan masyarakat; kita adalah pembina pembangunan ekonomi, bukan yang menyokong populisme; kita mewujudkan suasana politik yang stabil untuk rakyat, berbanding menjadi punca kemelut politik,” katanya lagi.

Katanya, MCA tidak pernah menjadi parti yang mencetuskan pergeseran kaum memandangkan perjuangan mereka bukan untuk masyarakat Cina sahaja, tetapi seluruh rakyat Malaysia.

Dia juga menggesa semua anggota parti untuk berusaha keras meraih kembali sokongan pengundi agar dapat mengukuhkan kuasa politik MCA dalam gabungan pemerintah.

“Kita mesti meraih semula sokongan rakyat dan meyakinkan pengundi untuk memilih kita…KIta mesti tunjukkan kerja-kerja praktikal yang telah dicapai, berbanding sikap hipokrit dan taktik licik yang digunakan pembangkang,” katanya.

Dalam ucapannya, Wee turut mengecam sebuah parti politik yang tidak dinamakan yang didakwanya telah memanipulasi emosi masyarakat Cina.

“Demi mendapat undi, ada parti yang tidak kisah merosakkan keharmonian antara kaum dengan mencipta salah faham dan meningkatkan ketegangan, dengan melaga-lagakan antara kaum.

“Beberapa tahun kebelakangan, keretakan hubungan antara kaum semakin meningkat.

“Hari ini, ketika penggunaan bahasa Cina menjadi semakin meluas, masih ada parti politik yang percaya permainan talam dua muka masih boleh dilakukan dan terus memanipulasi emosi masyarakat Cina,” katanya lagi.

Berita penuh :https://www.malaysiakini.com/news/565601