MB arah kilang punca pencemaran sungai diroboh serta merta

Kerajaan negeri Selangor mengarahkan pengosongan tapak bengkel selenggara jentera berat yang menjadi punca pencemaran Sungai Gong dan memulihkan semula tanah itu dengan segera.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, dipetik BH Online berkata notis arahan itu akan diserahkan kepada pemilik premis Isnin ini.

Menurutnya, arahan berkenaan terkandung dalam Notis Perlanggaran Syarat (7A) Pejabat Daerah dan Tanah Gombak.

Antara lain notis itu mewajibkan pemilik meroboh bangunan atau berdepan tindakan pihak berkuasa tempatan.

“Berdasarkan pengalaman sebelum ini, ada masa yang sesuai diperlukan untuk mengosongkan tanah.

“Tanah itu milik mereka, bukan tanah haram atau ceroboh,” katanya.

Jelas Amir, bengkel berkenaan telah dikompaun RM60,000 pada Mac lalu atas kesalahan mencemarkan punca air menyebabkan ia ditutup seketika.

“Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada masa itu tidak memiliki bukti yang cukup kuat untuk memaksa premis berkenaan menghentikan operasi.

“Kita dapati ia kembali beroperasi sejak Jun lalu apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan dan diganti dengan PKP Pemulihan (PKPP),” katanya.

“Kali ini siasatan yang dilakukan secara manual, termasuk berjalan sejauh 20 kilometer menyusuri aliran sungai untuk menghidu kesan pencemaran sehingga dapat menemui bukti kukuh kesalahan itu,” katanya.

Amirudin sebelum ini dilaporkan berkata sebuah premis dipercayai menjadi punca pencemaran selepas disyaki membuang bahan pelarut ke Sungai Gong yang mengalir ke Sungai Sembah iaitu antara sungai utama bagi Sungai Selangor.

Terdahulu,Menteri Alam Sekitar dan Air, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kerajaan akan melaksanakan proses pendakwaan terhadap pihak yang bertanggungjawab mencemar sumber bekalan air sehingga mengakibatkan gangguan meluas di Selangor dan Kuala Lumpur pada minggu depan.

Beliau berkata ketika ini tindakan penguatkuasaan pelbagai agensi negeri dan pusat sedang berjalan.

Katanya agensi itu membabitkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) jabatan alam sekitar (JAS), Lembaga Urus Air Selangor (Luas) dan pihak berkuasa tempatan.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/541419

COMMENTS

Wordpress (0)