Mayat pesakit Covid-19 dibuang dalam sungai di India

Sejumlah besar mayat yang dipercayai pesakit Covid-19 dihanyutkan ke Sungai Ganges di utara India.

Sehingga kini, tiada bilangan spesifik mayat ditemui itu namun beberapa media melaporkan jumlahnya boleh mencecah lebih 100 di daerah Buxar.

Namun, pegawai tempatan, Ashok Kumar berkata, sekurang-kurangnya 40 mayat ditemui di sungai berhampiran sempadan antara Bihar dan Uttar Pradesh, dua negeri termiskin di India.

Penduduk tempatan memberitahu AFP, mereka percaya mayat tersebut dibuang di sungai kerana pusat pembakaran mayat penuh atau ahli keluarga mangsa tidak mampu membeli kayu untuk upacara pembakaran.

Lapor Metro, menurut pihak berkuasa, beberapa mayat yang ditemui dalam keadaan sudah mengembang dan terbakar di beberapa bahagian badan.

Malah, katanya, mayat tersebut dipercayai berada di sungai itu selama beberapa hari.

“Kami telah mengarahkan pihak berkuasa berkaitan untuk mengebumikan atau membakar mayat tersebut,” katanya.

Berdasarkan data rasmi, India hampir setiap hari merekodkan kira-kira 4,000 kes kematian akibat Covid-19, dengan jumlah keseluruhan mencecah lebih 250,000 kes.

Bagaimanapun, banyak pakar percaya angka kematian sebenar mungkin jauh lebih tinggi.

Berita penuh : https://www.utusan.com.my/luar-negara/2021/05/mayat-pesakit-covid-19-dibuang-di-sungai-ganges/

COMMENTS

Wordpress (0)