Matahari tidak stabil, saintis beri amaran

Ahli-ahli astronomi mengeluarkan amaran mengenai keadaan Matahari yang dikatakan kini tidak stabil, lapor laman berita Wion News semalam.

Mereka berkata, keadaan itu berlaku selepas letusan sebutir bintang yang dikenali sebagai Bintang Naga atau EK Draconis. Bintang kerdil itu terletak pada jarak 110.71 tahun cahaya dari Bumi. Cahaya bergerak pada kelajuan 300,000 kilometer sesaat.

Saintis-saintis sebelum ini menyatakan bahawa suar suria menghamburkan jisim yang mempengaruhi alam sekitar di Bumi.

Matahari tidak stabil, saintis beri amaran

Gambar daripada Agensi Angkasa Eropah (ESA) menunjukkan imej Matahari, kira-kira separuh jalan antara Bumi dan Matahari diambil oleh The Extreme Ultraviolet Imager (EUI) dan instrumen Polarimetric and Helioseismic Imager (PHI) di atas kapal angkasa pengorbit solar. – Twitter

“Penghamburan jisim ini secara teori boleh juga berlaku pada Matahari kita. Pemerhatian ini dapat membantu kami untuk lebih memahami bagaimana peristiwa serupa mempengaruhi Bumi, malah Planet Marikh sejak berbilion-bilion tahun lalu,” kata pengarang bersama kajian itu, Yuta Notsu dari Makmal Fizik Atmosfera dan Angkasa Lepas (LASP).

Kajian itu yang diterbitkan dalam jurnal Nature, menunjukkan bahawa bintang merah kerdil jenis M adalah tidak stabil seperti yang disangkakan sebelum ini. Bintang-M merujuk kepada bintang yang banyak terdapat di cakerawala dan bintang paling kecil yang mempunyai bahan bakar hidrogen. Bintang jenis ini biasanya mempunyai jisim sekitar 0.6 kali ganda berbanding jisim Matahari.

Bagaimanapun, matahari kelihatan kurang aktif daripada bintang serupa dari segi variasi kecerahan yang disebabkan oleh tompok matahari dan fenomena lain.

Penyelidik-penyelidik berkenaan berkata kelmarin bahawa mereka melakukan kajian terhadap 369 bintang yang serupa dengan matahari untuk melihat suhu permukaan, saiz, dan tempoh putarannya. Kajian itu menunjukkan bintang-bintang tersebut secara purata memaparkan perbezaan kecerahan lima kali ganda lebih banyak daripada Matahari.

Matahari mengambil masa kira-kira 24 hari setengah untuk melengkapkan putaran pada paksinya.

‘’Perubahan kecerahan ini disebabkan oleh bintik-bintik gelap pada permukaan bintang yang berputar,’’ kata ahli astronomi, Timo Reinhold dari Institut Penyelidikan Sistem Suria Max Planck di Jerman.

Matahari secara ringkasnya adalah sebiji bola panas terdiri daripada gas hidrogen dan helium. Ia adalah bintang bersaiz biasa yang terbentuk lebih 4.5 bilion lalu dan kini dikatakan mencapai separuh usianya.

Matahari mempunyai diameter sekitar 1.4 juta kilometer, manakala suhu permukaannya adalah kira-kira 5,500 darjah Celsius.

BACA JUGA : Idris Haron cadang PH bekerjasama dengan PN
Mengejutkan !!! Saintis dapati 99.9 peratus kehidupan bumi bakal lenyap, ini puncanya…

Artikel ini disiarkan pada 17/12/2021

COMMENTS

Wordpress (0)