Mat Sabu mahu PH jangan buang masa, hanya diperalat

Mat Sabu mahu PH jangan buang masa, hanya diperalat

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu menggesa Pakatan Harapan berhenti membuang masa dengan Ahli Parlimen kerajaan Perikatan Nasional “oportunis” yang memperalatkan mereka.

Dua pemimpin itu dalam kenyataan bersama berkata, PH perlu menghadapi hakikat pembangkang memerlukan anjakan politik baru, susulan kegagalan mereka menghalang belanjawan persekutuan diluluskan.

“Undian semalam jelas menunjukkan 108 Ahli Parlimen yang menentang PN adalah jumlah sama yang kekal teguh bersama PH pada Mac 2020.

“Tidak ada seorang pun Ahli Parlimen kerajaan yang mengundi bersama PH, termasuk mereka yang kononnya menyokong Anwar Ibrahim.

“Jelas Ahli Parlimen kerajaan ini sangat pandai dengan permainan politik untuk mengaut kelebihan dan meraih keuntungan daripada kerajaan PN.”

Mereka berkata, PH sudah menyuarakan sokongan kepada Presiden PKR, Anwar sebagai calon perdana menteri dan beliau boleh mendapat sokongan Ahli Parlimen kerajaan yang bukan kleptokrat.

Bagaimanapun, kelulusan belanjawan itu menunjukkan Ahli Parlimen kerajaan hanya memperalatkan PH demi kepentingan peribadi mereka.

Lim dan Mohamad berkata, lebih banyak masa dan sumber perlu digunakan untuk sekutu yang bergelut untuk perjuangan bersama dan PH perlu melihat melepasi 92 Ahli Parlimennya serta memfokuskan 108 Ahli Parlimen pembangkang.

“Undian belanjawan pada Selasa mengajar kita untuk tidak membazirkan tenaga mengejar bayang-bayang lebih daripada 111 Ahli Parlimen dengan berdasarkan hanya 92 Ahli Parlimen PH. Andai kata berdasarkan 108 Ahli Parlimen, PH Plus betapa kuat laginya?”

Jumlah itu nampaknya termasuk Ahli Parlimen Warisan dan Pejuang, yang masing-masing diketuai bekas ketua menteri Sabah, Shafie Apdal dan bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.

Dua pemimpin itu kini tidak sependapat dengan Anwar.

“Sekarang mesti ada anjakan politik baru untuk fokus kepada membangunkan pakatan pembangkang lebih bersatu yang dapat bertanding sebagai satu pasukan dalam pilihan raya akan datang.

“Pemimpin PH mesti mengetepikan bebanan lampau supaya PH dapat berkembang menjadi PH Plus dengan kekuatan hebat 108 Ahli Parlimen. Dengan 108 Ahli Parlimen PH Plus sebagai pakatan mantap, apa-apa saja kemungkinan boleh berlaku kelak.”

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2020/12/17/pembangkang-perlu-anjakan-politik-semula-kata-guan-eng-mat-sabu-selepas-belanjawan-lulus/