Masih lagi dalam darurat, tiada keperluan buat sidang parlimen – Takiyuddin

Masih lagi dalam darurat, tiada keperluan buat sidang parlimen – Takiyuddin

Tiada keperluan lagi untuk memanggil sidang Parlimen dalam tempoh Proklamasi Darurat, kata Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu, persidangan Parlimen akan diputuskan oleh Jemaah Kabinet berdasarkan keadaan semasa dalam negara sebelum menasihati Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, perkara tersebut turut termaktub dalam Sekysen14 (1) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) termasuk untuk prorog Parlimen.

Jelas beliau lagi, Perkara 150 (2B) juga memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membuat undang-undang di bawah Ordinan Darurat.

“Maka keperluan untuk Parlimen bersidang untuk buat undang-undang itu tidak adalah.

“Apabila perkara ini dilaksanakan kenyataan dibuat oleh Istana Negara itu adalah menjelaskan perkara bahawa tidak ada persidangan Parlimen. Namun demikian mana-mana sesi Parlimen yang nak dipanggil mestilah berikutan dengan keputusan yang dibuat oleh Jemaah Menteri.

“Jadi sekarang ini, Jemaah Menteri menasihatkan Yang di-Pertuan Agong bahawa tidak ada sidang Parlimen. Jadi, itulah keadaan sekarang ini.

“Istana Negara menyatakan bahawa kalau nak diadakan persidangan Parlimen, maka perlu adanya satu keputusan oleh Jemaah Menteri, bukan Perdana Menteri.

“Jadi di sini Kabinet apabila membuat nasihat kenapa kita menangguhkan, bukan menggantung, menangguhkan persidangan, ini kerana banyak alasan termasuk perundangan, sains dan data,” kata beliau dalam sidang media di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan bahawa Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan pandangan bahawa Parlimen boleh bersidang ketika tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Selain sudut perundangan, Takiyuddin berkata, tumpuan dan fokus utama kerajaan ketika ini adalah untuk memerangi COVID-19 termasuk mengurangkan risiko kepada Ahli-ahli Parlimen.
Mengambil contoh Proklamasi Darurat pada 1969, beliau berkata, ketika itu sidang Parlimen tidak bersidang selama dua tahun.

“Memang kerajaan amat serius dalam rangka membendung (penularan COVID-19) kepada semua orang termasuk Ahli-ahli Parlimen.

“Saya nak nyatakan, di Parlimen terdapat 220 ahli. Daripada jumlah tersebut, seramai 77 orang ahli Parlimen berumur 61 hingga 69 tahun.

“Manakala, 19 orang berumur antara 70 hingga 79 tahun, sementara seramai empat orang berumur 80 tahun ke atas.

“Hampir sebahagian Ahli Parlimen adalah kumpulan berisiko dan kita tak mahu terdedah kepada perkara-perkara ini sebab kita berada di ruang yang tertutup,” katanya lagi.

Berita Penuh :https://www.astroawani.com/berita-malaysia/tiada-keperluan-lagi-untuk-panggil-sidang-parlimen-takiyuddin-285851