Masih banyak kekosongan slot dalam pendaftaran fasa dua AstraZeneca

Masih banyak kekosongan slot dalam pendaftaran fasa dua AstraZeneca

Meskipun lebih empat jam pendaftaran pusingan kedua pengambilan vaksin AstraZeneca untuk warga emas yang berusia 60 dan ke atas mula dibuka sejak pukul 12 tengah hari tadi, masih terdapat banyak kekosongan di empat lokasi vaksinasi yang ditetapkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKAV) Covid-19.

Ia berbeza dengan pusingan pertama pada 2 Mei lalu sekali gus menyaksikan 268,000 slot habis ditempah dalam tempoh tiga jam 20 minit selepas pendaftaran dibuka pada pukul 12 tengah hari.

Sehubungan itu, terdapat netizen giat berkempen menggalakkan warga emas untuk merebut slot itu.

Ada juga membantu melakukan pendaftaran bagi pihak keluarga mereka yang berusia 60 tahun dan ke atas.

Namun, JKAV menjelaskan bahawa pusingan kali menyaksikan tawaran 1.24 juta dos berbanding sebelum ini hanya 260,000 dos.

“Sejumlah 1.24 juta dos ditawarkan. Sebelum ini hanya 260k,” ciap JKAV dalam Twitternya hari ini.

Sebelum ini, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin memaklumkan, pendaftaran pusingan kedua pengambilan vaksin AstraZeneca dibuka untuk warga emas melibatkan penduduk Lembah Klang, Pulau Pinang, Johor, Kuching dan Miri.

Warga emas berusia 60 tahun dan ke atas di lokasi-lokasi itu boleh melakukan tempahan pengambilan vaksin AstraZeneca bermula 12 tengah hari ini dan secara sukarela boleh mendaftar melalui http://vaksincovid.gov.my.

Kelmarin Malaysia menerima 1.1 juta dos vaksin AstraZeneca melalui kemudahan pelan peruntukan vaksin Covid-19 global atau COVAX.

Berita penuh : https://www.utusan.com.my/nasional/2021/05/slot-untuk-vaksin-astrazeneca-belum-penuh/