Masa depan Muhyiddin gelap jika sertai Muafakat Nasional

Masa depan Muhyiddin gelap jika sertai Muafakat Nasional

Penganalisis memberi amaran kepada Umno bahawa akar umbinya akan menentang kuat penyertaan PPBM ke dalam Muafakat Nasional (MN).

Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia dan James Chin dari Institut Asia di Universiti Tasmania meramalkan pertembungan apabila pilihan raya umum dipanggil.

Rundingan kerusi akan meruncingkan ketegangan antara Umno dan parti serpihannya, kata mereka kepada FMT.

Azmi berkata kedua-dua parti berebut sokongan demografi yang sama dan perlu ada banyak tolak ansur dalam MN sekiranya PPBM menyertainya.

“Saya fikir kepimpinan masing-masing boleh selesaikannya, tetapi saya tak pasti tentang akar umbi,” tambahnya.

Untuk meyakinkan akar umbi terima penyertaan PPBM, katanya, pemimpin Umno mesti membuktikan dominasinya.

Beliau berkata cara paling mudah adalah memastikan rundingan kerusi berakhir dengan Umno bertanding semua kerusi yang kini diduduki bekas ahli yang meninggalkannya.

“Mereka amat benci ahli Parlimen yang meninggalkan Umno,” kata Azmi. “Pada saya, amat susah untuk bekas ahli Parlimen Umno mempertahankan kerusi mereka atas tiket PPBM.”

Beliau bagaimanapun merasakan Hamzah Zainuddin (Parlimen Larut), Mustapa Mohamed (Jeli), dan Mas Ermieyati Samsudin (Masjid Tanah) ada peluang menang pada pilihan raya umum nanti.

“Tetapi ada beberapa ahli Parlimen bekas Umno yang tidak perlu,” katanya.

Semalam, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan, memaklumkan beliau terima banyak maklum balas daripada akar umbi yang tidak bersetuju dengan idea menerima PPBM ke dalam MN.

Presiden Zahid Hamidi kemudian menulis di Twitter bahawa pandangan akar umbi akan diambil kira sebelum sebarang keputusan dibuat.

Chin berkata keadaan paling ideal yang akar umbi Umno mahu adalah PPBM dibubarkan dan ahlinya kembali kepada Umno.

Beliau berkata akar umbi tiada upaya tetapi mengakui perasaan hina terhadap PPBM cukup kuat untuk menimbulkan konflik terbuka semasa rundingan kerusi nanti.

“Sekarang baru tinju bayang,” katanya. “Ketegangan sebenar apapbila pilihan raya umum dipanggil dan mereka terpaksa berunding kerusi.”

Chin tidak percaya Umno akan dapat bertanding di semua kerusi yang ditandinginya pada 2018 memandangkan prinsip dalam rundingan kerusi membenarkan penyandang mempertahankan kerusinya.

Beliau juga tidak percaya PPBM akan dapat bertanding lebih daripada 50 kerusi.

Beliau meramalkan Umno dan PAS akan bertanding kebanyakan kerusi majoriti Melayu.

“PPBM akan beberapa kerusi Melayu. Barangkali ia akan bertembung dengan PKR di kerusi campuran.”

Setiausaha Agung Barisan Nasional, Annuar Musa baru-baru ini berkata MN secara prinsip bersetuju dengan hasrat PPBM untuk menyertai pakatan itu.

Berita penuh : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/2020/08/19/penganalisis-ramal-tentangan-kuat-dalam-umno-jika-ppbm-sertai-mn/