Masa depan Bersatu malap dalam PRU15, kata penganalisis

Bersatu

Masa depan Bersatu malap dalam PRU15.

Baru sahaja tiga hari tumbang, kerajaan Perikatan Nasional (PN) disebut-sebut bakal kembali memegang tampuk kuasa tidak lama lagi.

Dengan nama Ismail Sabri Yaakob dari Umno menjadi buah mulut sebagai antara calon utama mengisi jawatan ditinggalkan Muhyiddin Yassin dari Bersatu itu, tidak banyak perubahan bakal dilihat dari segi komposisi gabungan jika ia kembali mentadbir negara.

Namun, hal ini juga mengundang persoalan, apakah masalah yang membelenggu PN sebelum ini masih kekal, khususnya soal hubungan Umno- Bersatu yang sentiasa tegang dengan perselisihan soal jawatan dan kedudukan.

Sebagai parti yang tidak akan lagi dianggap dominan berbanding Umno, survival Bersatu yang jauh lebih kecil dan muda akan teruji, baik dalam mengelak daripada dianaktirikan dalam kerajaan, mahupun peluang dalam pilihan raya umum (PRU) ke-15.

Bagi penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Jamaie Hamil, Bersatu tidak mempunyai masa depan yang cerah dalam PRU-15.

Katanya, meskipun PN membentuk kerajaan baru dan tidak bercakaran seteruk dahulu, dia menjangkakan hubungan Umno dan Bersatu tetap akan putus menjelang PRU-15 bagi mengelakkan pertembungan kerusi antara dua parti itu.

Bersatu merupakan serpihan Umno, dan memiliki 15 daripada kerusi yang dimenangi atas tiket Umno dalam PRU-14 lalu akibat daripada ahli-ahli parlimen yang lompat parti.

“Sama ada Bersatu yang menjadi perdana menteri, atau diserahkan kepada Umno, dalam PRU sebenar nanti, kemungkinan Umno akan terus putus dengan Bersatu, masing-masing membawa haluan masing-masing,” katanya kepada Malaysiakini.

“Untuk PRU-15 nanti, Bersatu tak ada tempat. Adalah pemimpin-pemimpin dia akan menang, tapi kebanyakan kawasan Umno menang dulu yang lompat ke Bersatu, Umno akan dapat balik.

“Dalam sejarah Umno, kalau dia (ahli) sudah keluar dari Umno, dia sudah tidak popular. Contohnya Mohd Isa Abdul Samad, siapa tak kenal, berapa puluh tahun menjadi menteri besar Negeri Sembilan.

“Tapi bila bertanding dalam pilihan raya di Port Dickson, dia kalah dengan kekalahan yang besar sekali,” katanya merujuk kekalahan teruk Mohd Isa kepada presiden PKR Anwar Ibrahim dalam pilihan raya kecil (PRK).

Mohd Isa mengumumkan keluar Umno pada 28 Sept 2018 bagi bertanding kerusi PRK Port Dickson selepas parti itu tidak meletakkan calon di kerusi berkenaan.

Dia tewas dengan hanya memperoleh 4,230 undi berbanding 31,016 undi yang dimenangi Anwar.

Bersatu dapat tempias buruk

Prof Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia pula berkata, berbanding Umno, Bersatu lebih mendapat tempias buruk daripada persepsi bahawa PN telah gagal mentadbir negara.

“Rakyat tafsir PN1.0 gagal mentadbir negara dan persepsi ini lebih melekat kepada Bersatu dan PAS berbanding Umno,” katanya yang melihat kedudukan Umno sebagai parti lebih dominan akan memberikan kelebihan buatnya dalam soal agihan kerusi.

“Maka PRU-15 ini, bukan sahaja Bersatu, tetapi juga PAS berada dalam tidak selesa (berbanding Umno),” katanya ketika dihubungi.

Untuk rekod, Bersatu dan Umno berganding bahu dalam gabungan PN untuk menyingkirkan kerajaan Pakatan Harapan pada Februari tahun lalu.

PN dianggotai Bersatu, PAS dan Star selain disokong Umno-BN, PBS dan ahli parlimen bebas.

Bagaimanapun, PN mula berdepan kritikan berhubung dasar dan pengendalian wabak Covid-19, antaranya sekatan pergerakan yang longgar, pembukaan kilang dan lain-lain, sehingga dikatakan berlakunya lonjakan kes.

Ketika Muhyiddin mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pada 1 Mac tahun lalu, Malaysia berada pada peringkat awal penularan Covid-19 dengan hanya mencatatkan 33 kes keseluruhan.

Namun ketika dia berundur dua hari lepas, kes kumulatif Covid-19 mencecah 1,424,649 dan 249,277 kes aktif.

Muhyiddin melepaskan jawatan selepas 15 ahli parlimen Umno menarik balik sokongan kepadanya, menyebabkan dia hanya mempunyai 100 sokongan ahli parlimen, kurang 11 untuk mencapai majoriti.

Terdapat 220 ahli parlimen di Dewan Rakyat dengan dua kerusi kosong.

Itu merupakan kemuncak kepada episod perselisihan Umno-Bersatu sejak awal mereka mengambil alih kerajaan daripada PH tahun lalu.

Pun begitu, Jamaie dan Azmi percaya Bersatu akan memeterai perjanjian dengan Umno bagi mengelakkan kesilapan lama dan percakaran berulang, setidak-tidaknya sepanjang mereka berganding bahu menjadi kerajaan nanti.

Kesilapan Umno

Pada pandangan Azmi, Umno melakukan kesilapan ketika dalam PN apabila tidak merangka sebarang perjanjian bagi menentukan hala tuju dan dasar yang dapat menjaga kepentingan parti itu.

“Besar kemungkinan perjanjian tidak dibuat mengenai hala tuju dasar PN1.0: apabila sesuatu dasar itu hendak dibuat, adakah mereka (kabinet Bersatu) perlu merujuk kepada Umno dahulu.

“Dan paling penting, kemungkinan tak dibuat perjanjian mengenai pelantikan dalam kabinet. Sebab itu kita melihat Muhyiddin sebagai perdana menteri seolah-olah melampaui presiden Umno dalam pelantikan ahli kabinet yang datangnya daripada Umno.

“Tetapi, besar kemungkinan, PN2.0 ini, perjanjian akan dibuat antara Bersatu dan Umno tentang dua perkara itu, iaitu pelantikan menteri kabinet dan hala tuju dasar.

“Setiap dasar yang dibuat oleh kabinet atau perdana menteri (contohnya), mesti juga merujuk kepada Bersatu dalam hal itu.

“Jadi ada bezanya antara PN1.0 dan PN2.0, kerana masing-masing telah belajar daripada kesilapan yang berlaku semasa 17 bulan lepas,” katanya lagi.

Bagi Jamaie, dia menjangkakan Bersatu mengambil langkah lebih berani dengan memeterai perjanjian berkaitan kes mahkamah membabitkan beberapa ahli parlimen Umno, sebagai syarat untuk menyokong Ismail yang merupakan naib presiden Umno itu.

“Barangkali ada semacam perjanjian yang mana walaupun Umno berkuasa sebagai perdana menteri dalam kerajaan baru, tetapi kluster mahkamah itu tetap tak boleh dilepaskan. Mungkin Bersatu mengambil sikap yang berani seperti itu,” katanya, selaras dengan ucapan Muhyiddin ketika mengumumkan peletakan jawatannya.

Ditanya tentang perkara yang wajar dituntut Bersatu daripada Umno sebagai syarat sokongan kepada Ismail, Jamaie menjawab Bersatu harus menuntut jawatan menteri dalam negeri sekiranya serius mahu menolak kumpulan ‘kleptokrat’ atau kluster mahkamah di dalam Umno.

“Selagi (jawatan) menteri dalam negeri dipegang Bersatu, atau pun mungkin oleh Muhyidin ke, saya fikir, kluster mahkamah itu dapat dihalang,” katanya.

Sekiranya PN2.0 benar-benar dapat kembali memegang kuasa, Azmi berpandangan, perkara paling penting untuk gabungan itu adalah membuang stigma yang membelenggunya sebelum ini dalam soal lantikan kabinet.

Katanya, perdana menteri perlu diberikan kebebasan untuk membentuk kabinetnya berdasarkan kemampuan ahli parlimen, bukan berdasarkan hierarki parti atau terikat dengan cadangan parti-parti yang mahu calon mereka dilantik ke portfolio tertentu.

“Ahli parlimen akan dilantik ke dalam kabinet mengikut kemampuan mereka, bukan untuk memberikan pernghargaan kerana sokongan yang diberikan kepada Ismail sebagai perdana menteri.

“Inilah yang berlaku dalam PN1.0 … jadi kita lihat beberapa menteri ini tak berkemampuan untuk menerajui sesuatu kementerian. Itu adalah begitu nyata sekali,” katanya lagi.

Kedudukan Zahid terancam

Mengulas mengenai masa depan Umno sekiranya Ismail menjadi perdana menteri, Jamaie meramalkan kedudukan Zahid dan kumpulannya akan terancam, apabila ahli parlimen Bera itu mungkin dipilih sebagai presiden dalam pemilihan akan datang.

Bahkan Jamaie tidak menolak kemungkinan mereka tidak akan dicalonkan dalam PRU-15.

Setakat ini, selain Ismail, persaingan untuk merebut jawatan perdana menteri dipercayai turut Anwar yang juga ahli parlimen Port Dickson.

Ahli Parlimen dari Umno dan Bersatu menyatakan parti itu akan menyokong Ismail, manakala Pakatan Harapan dan sekutunya mendakwa Anwar mempunyai 105 sokongan ahli parlimen.

Menurut Istana Negara, Yang di-Pertuan Agong telah menitahkan agar perdana menteri yang baru masih perlu membuktikan majoriti diperolehinya secepat mungkin di Dewan Rakyat.

Berita penuh : https://www.malaysiakini.com/news/587756

Baca Juga : Gangguan Seksual : Polis sahkan ambil keterangan pendakwah terkenal