Maria Chin dakwa “orang bodoh” sahaja percaya dia sokong Muhyiddin

Ahli Parlimen Petaling Jaya Maria Chin Abdullah menafikan khabar angin konon beliau mengubah pendirian politik daripada Pakatan Harapan (PH) kepada Perikatan Nasional (PN).

Maria berkata, khabar angin itu sengaja disebarkan oleh “individu bodoh”, sedangkan pendiriannya jelas menentang tindakan lompat parti oleh Ahli Parlimen.

“Terdapat khabar angin bertiup kencang, yang disengajakan oleh ‘orang bodoh’ mengatakan saya akan berhijrah kepada PN.

“Pendirian saya jelas, tidak ada orang waras yang harus mengesahkan “pemerintahan haram” yang sedang rosakkan negara.

“Saya mahukan perubahan, bukannya ‘jualan jiwa’. Saya benar-benar membantah tindakan lompat parti atau menukar gabungan. Biarlah rakyat membuat keputusan melalui pilihan raya,” katanya di Facebook.

Maria berkata demikian bagi menjawab desas-desus bahawa beliau akan menurut langkah dua Ahli Parlimen PKR, Larry Sng (Julau) dan Steven Choong (Tebrau) semalam.

Dua Ahli Parlimen PKR itu keluar parti dan mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.

Susulan perkembangan itu, Muhyiddin berkata, sokongan Sng dan Choong akan mengukuhkan lagi kerajaan PN dalam usahanya menangani wabak Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.

Sng dilaporkan meletak jawatan sebagai pengerusi PKR Sarawak Jumaat lepas.

Beliau mengumumkan keputusan itu dalam sidang video bersama majlis pimpinan negeri.

Sng dilaporkan mahu melepaskan jawatan itu pada Disember tahun lalu, tetapi memutuskan untuk bertahan selepas bermesyuarat dengan Presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Awal minggu ini, Choong turut menafikan dakwaan bahawa beliau akan menyertai PN selepas dilihat bertemu beberapa orang menteri, sekali gus menimbulkan spekulasi.

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/03/01/orang-bodoh-saja-kata-saya-sertai-pn-tegas-maria-chin/

COMMENTS

Wordpress (0)